fbpx

Majikan perkhidmatan kurier perlu dipantau, diperiksa

Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Sumber Manusia memantau dan membuat pemeriksaan secara berkala terhadap majikan sektor penghantaran kurier bagi memastikan pekerja berkaitan mendapat pembelaan sewajarnya.

Ia susulan insiden pekerja J&T Express (J&T) membaling barang pelanggan tular di media sosial dikatakan disebabkan kakitangan kurang jelas mengenai sistem pengagihan bonus sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata isu seperti tiada kontrak perkhidmatan, tiada kenaikan gaji tahunan dan pembayaran gaji lewat perlu diberi perhatian serta dikaji oleh kementerian berkenaan.

Pada masa sama, katanya, inisiatif kementerian itu untuk mewujudkan saluran aduan secara dalam talian perlu dilancarkan secepat mungkin bagi memberi kemudahan membuat aduan.

“Bagi membantu pekerja dalam sektor ini mendapatkan faedah lebih baik, MTUC juga mencadangkan dan menasihat pekerja supaya menganggotai atau menubuhkan kesatuan sekerja.

“Majoriti pekerja dalam sektor ini tidak terbabit dalam kesatuan pekerja. MTUC sedia membantu dan mereka boleh hubungi MTUC bagi tujuan penubuhan kesatuan sekerja.

“Ia sebagai satu jaminan bagi pekerja mendapatkan suasana kerja lebih baik di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, J&T dan tujuh pekerjanya dilaporkan memohon maaf kepada pelanggan di seluruh negara berhubung kejadian pekerja mogok dan membaling barang yang tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi 15 saat di sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, MTUC setakat ini tidak menerima aduan secara bertulis daripada pekerja J&T.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan kementerian terbabit menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk merungkai di sebalik kejadian yang berlaku.

“JTKSM memaklumkan siasatan sudah dilakukan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata, MTUC melihat insiden itu sebagai ‘api dalam sekam’ terhadap beberapa sektor perkhidmatan kurier, pembersihan dan penghantaran makanan susulan sambutan serta permintaan tinggi dalam suasana negara dilanda penularan COVID-19.

“Pekerja dalam sektor ini adalah golongan B40 dan mudah terkesan apabila sesuatu perkara membabitkan implikasi kewangan.

“Biasanya syarikat dalam industri ini memberi gaji minima tanpa faedah lain. Pekerja terpaksa bekerja lebih masa bagi mendapatkan upah tinggi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Polis buru suspek pecah rumah

Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai

Read More »
Kwiknews