fbpx

PKP bukan alasan naikkan harga

Foto: The Malaysian Reserve

KOTA KINABALU: Peniaga di Sabah diingatkan tidak menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan keperluan pengguna.

Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata walaupun peniaga juga terjejas dan tertekan berikutan pelaksanaan perintah berkenaan, tindakan menaikkan harga tidak wajar dilakukan.

Beliau berkata, sebaliknya tindakan itu akan memburukkan lagi keadaan ekonomi rakyat yang sememangnya terjejas, selain mengundang kemarahan pengguna.

“Walaupun peniaga turut terkesan dan tertekan dengan kemerosotan jualan masa kini, jangan sesekali mencalarkan integriti sebagai peniaga berhemah dan mengambil kesempatan ke atas pelanggan.

“Bukan sahaja peniaga akan dikenakan tindakan undang-undang jika berbuat demikian, malah pelanggan juga akan hilang kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, menaikkan harga barangan terutama yang dikawal seperti telur, gula, dan tepung adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun jika sabit kesalahan.

“Justeru jangan naikkan harga barang sesuka hati tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Sementara itu, Penaung Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, Datuk Amisah Yassin mengingatkan pengguna supaya bijak berbelanja membeli keperluan terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina, Jumaat ini.

Katanya, dalam situasi ekonomi semasa yang rumit dengan ramai orang kehilangan pekerjaan, pengguna harus bijak dalam membezakan keperluan dan kehendak.

“Wajar untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak berbelanja tanpa meneliti sesuatu itu sebagai satu keperluan atau kehendak, kerana ia akan memberi kesan kepada kita kembali,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, pandemik COVID-19 dan PKP menjejaskan pelbagai pihak, namun pengguna perlu akur dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) demi kebaikan semua.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews