fbpx

PdPR: Komputer riba murah habis dijual

Foto: KL GadgetGuy

IPOH: 11 Feb — Kebanyakan komputer riba terutama yang berharga RM2,000 ke bawah telah habis dijual di Ipoh susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak beberapa minggu ini.

Tinjauan Bernama di sebuah kompleks yang merupakan lubuk penjualan alat peranti di Perak seperti telefon bimbit, komputer dan aksesori itu mendapati stok komputer riba di kebanyakan kedai di kompleks itu semakin berkurang.

Menurut seorang peniaga Chai Wai Kean, 25, premisnya kehabisan stok komputer riba jenis murah kerana lebih 100 unit telah terjual sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya ketika pelaksanaan PdPR

“Ramai ibu bapa yang datang ke sini untuk mencari komputer riba bagi anak mereka menjalani sesi persekolahan secara dalam talian di rumah dan kini tiada lagi stok boleh didapati di kedai ini kerana yang tinggal hanya yang berharga RM3,000 ke atas.

“Bagaimanapun kami masih mempunyai set komputer meja (desktop) berharga lingkungan RM1,500 namun kebanyakan ibu bapa enggan membelinya kerana lebih memilih komputer riba untuk anak-anak mereka guna secara berkongsi,” katanya ketika ditemui Bernama.

Chai berkata sebelum ini pihaknya hanya menambah stok komputer riba yang murah antara 10 hingga 20 unit dua kali sebulan tetapi kini pihaknya sukar mendapatkan bekalan kerana pembekal dan penghantaran dari luar negara agak terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, seorang pekerja di premis lain dalam kompleks sama yang hanya ingin dikenali sebagai Chong, 37, berkata ramai ibu bapa menolak apabila dicadangkan supaya membeli komputer meja yang lebih murah kerana mereka tetap memilih komputer riba kerana dilengkapi dengan kamera bagi tujuan PdPR.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan harga peranti itu bakal meningkat susulan permintaan yang tinggi dan kesukaran mendapatkan bekalan ketika ini manakala stok baharu dijangka hanya tiba selepas Tahun Baru Cina nanti.

Seorang peniaga produk Muslim yang tinggal di Tambun, Abu Muizzuddin berkata beliau datang ke Kompleks Yik Foong itu untuk mencari komputer riba bagi kegunaan anak-anak mengikuti PdPR pada Selasa lepas namun kehabisan stok.

Beliau berkata empat anaknya yang masih berada di sekolah rendah dan menengah termasuk seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa berkongsi komputer riba lama yang dibelinya beberapa tahun lepas.

“Selain anak, isteri saya seorang guru juga terpaksa berkongsi komputer riba yang sama untuk tujuan PdPR. Puas saya mencari di kompleks ini…yang tinggal hanyalah satu unit tetapi harganya terlalu mahal,” keluhnya.

Sumber: BERNAMA

.

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews