fbpx

Reza Rahadian bukan pejuang cinta

KUALA LUMPUR: Meskipun dalam filem Layla Majnun, pelakon, Reza Rahadian diketengahkan sebagai pejuang cinta, namun kehidupan realiti pula sebaliknya.

Pelakon popular Indonesia itu berkongsi perkara itu ketika mengulas persamaan karakternya dengan watak Samir dalam dalam filem arahan Monty Tiwa itu.

“Soal persamaan karakter saya dan Samir dalam kehidupan sebenar, kami suka dengan sejarah.

“Tetapi, dari segi perbezaan lain, Samir begitu memperjuangkan cinta, manakala saya pula tidak sepertinya,” katanya kepada BH Online.

Itu adalah serba sedikit perkongsian Reza mengenai filem Layla Majnun yang akan ditayangkan secara global di platform Netflix mulai 11 Februari ini.​

Diinspirasikan dari kisah legenda Layla dan Majnun, filem romantis itu menggambarkan cinta yang bersemi dan mekar, meskipun terhalang oleh tradisi.

Mengulas mengenai filem Layla Majnun menerusi sesi temubual secara maya, Reza berkata, perkara paling sukar buatnya apabila perlu belajar bertutur dalam bahasa Azerbaijan.

Image result for Layla Majnun
Reza Rahadian dan Acha Septriasa kali ketiga bergandingan dalam filem. Terbaharu, filem Layla Majnun mengangkat kisah cinta yang terhalang oleh keluarga.

“Tentunya sukar belajar bahasa Azerbaijan. Saya bukan hanya berdialog, tetapi perlu belajar dialek memandangkan karakter memerlukan saya berbahasa Indonesia seperti rakyat Azerbaijan.

“Namun, saya bertuah proses ini dipermudahkan apabila dibantu teman yang juga pelajar Indonesia di sana. Kami berbincang mengenai skrip, bahasa, dialek dan dialog. Saya juga ditemani pelajar Azerbaijan yang belajar mengenai bahasa Indonesia.

“Jadi, saya bersyukur memiliki teman yang sangat membantu saya. Tetapi, saya akui ia sangat mencabar, semoga hasilnya memuaskan hati,” katanya.

Reza menghidupkan watak Samir, pemuda Azerbaijan yang jatuh cinta pada gadis Indonesia, Layla lakonan Acha Septriasa. Cinta mereka terhalang ekoran perkahwinan Layla sudah diaturkan oleh keluarganya.

Filem Layla Majnun adalah karya ketiga gandingan Reza dan Acha selepas filem T​est Pack: You’re My Baby​ pada 2012 dan The Strawberry Surprise (2014).

Selain Reza dan Acha, bintang Indonesia lain yang turut membintangi filem itu adalah Baim Wong, Uli Herdinansyah, Dian Nitami, Landung Simatupang, Beby Tsabina, August Melasz, dan Natasha Rizki.

Reza dan barisan pelakon lain optimis filem yang menjalani penggambaran di Azerbaijan pada penghujung 2019 itu mampu menghiburkan penonton seluruh dunia, memandangkan mereka sendiri seronok sepanjang penggambaran.

“Kami menimba banyak pengalaman manis penggambaran filem Layla Majnun di Azerbaijan. Jadi, saya percaya dengan hubungan yang kuat antara Azerbaijan dan Indonesia dari segi kerjasama dan budaya yang cuba diketengahkan oleh sutradara mampu menghiburkan penonton.

“Filem Layla Majnun adalah kisah cinta yang jujur dan mungkin sahaja terjadi kepada sesiapa dan bila-bila masa. Tidak mustahil kisah ini boleh terjadi dalam kehidupan nyata,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews