fbpx

Teroka tiga sektor wujud pekerjaan

Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kesihatan, logistik dan berinovasi tinggi antara sektor yang perlu diterokai untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk warga tempatan.

Presiden Persatuan Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong, berkata kombinasi antara pendigitalan dengan perkhidmatan perlu ditekankan terutama dalam tempoh norma baharu untuk menjadi platform yang boleh menjana pendapatan.

Justeru, beliau berkata peluang pekerjaan baharu pada masa kini cenderung mengkehendaki seseorang itu mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan pendigitalan.

Selain itu, platform e-dagang dan media sosial juga jika dimanfaatkan sebaik mungkin dapat menjadi sumber penjana pendapatan.

“Kebanyakan pendapatan usahawan dan peniaga tempatan terjejas serta menghadapi cabaran untuk menjual dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan secara fizikal disebabkan

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan.

“Kami lihat, sektor yang perlu diterokai adalah kesihatan, logistik dan berinovasi tinggi.

“Pendigitalan telah memberi peluang kepada usahawan yang mungkin terpaksa menutup perniagaan akibat COVID-19. Tetapi, pada hari ini pendigitalan dan aplikasi penghantaran makanan membolehkan sektor makanan, minuman dan perkhidmatan untuk terus beroperasi dalam norma baharu.

“PKS perlu kreatif dan berinovasi. Contohnya platform e-dagang dan media sosial telah memberi aliran jualan baharu serta utama kepada pengusaha peruncitan tradisional. Persidangan video dan penstriman video dalam talian juga membolehkan PKS berhubung dengan pelanggan walaupun kedai mereka ditutup,” katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Hua Keong berkata aplikasi mudah alih dan pembayaran tanpa sentuh bermaksud perniagaan kecil masih alam menjalankan transaksi tanpa melanggar peraturan penjarakan fizikal.

Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan dalam semua sektor perlu mengambil peluang dalam inisiatif kerajaan bagi menggalak penggunaan perkhidmatan digital.

“Peluang pekerjaan baharu memerlukan kemahiran IT dan pendigitalan. Di sinilah pihak PKS akan bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan inisiatif latihan yang disediakan oleh kerajaan memenuhi keperluan dan kehendak industri.

“Kita dapati, kebanyakan ahli kami memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran baharu terutamanya dalam bidang IT dan digital dalam persekitaran norma baharu.

“Bagi jangka masa pendek atau ‘quick wins’, pihak kami mengalu-alukan kerjasama dengan kerajaan dalam pemadanan inisiatif reskilling (latihan semula) atau upskilling (peningkatan kemahiran) yang membabitkan rakyat yang kehilangan pekerjaan. PKS memerlukan kemahiran ini.

“Bagi jangka masa sederhana, Persatuan PKS Malaysia juga akan membantu mempromosi dan menjayakan inisiatif yang diumumkan kerajaan, khususnya kepada usahawan tempatan termasuk industri yang sebelum ini banyak bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Jelasnya, inisiatif pendigitalan dan automasi dapat menjadi penyelesaian kepada kebergantungan kepada pekerja asing selain meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran untuk warga tempatan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews