fbpx

Animator Malaysia tawan dunia

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi animasi dan kandungan digital berpangkalan di Malaysia, Animasia Studio (Animasia) mencipta sejarah apabila menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat hiburan antarabangsa, Rainshine Entertainment (Rainshine) untuk menghasilkan filem animasi berdasarkan trilogi fiksyen yang mengungguli carta buku, iaitu Young Captain Nemo.

Melalui kolaborasi ini, karyawan Jeffrey Reddick yang terkenal dengan francais filem, Final Destination, dilantik untuk memantau kerja penulisan skrip berdasarkan siri KidLit yang dihasilkan oleh pengarang, Jason Henderson, selain terbabit dengan kerja penerbitan.

Dengan kolaborasi ini, Animasia akan terus menghasilkan kandungan menarik agar kanak-kanak di seluruh dunia dapat mengakses hiburan dengan selamat di rumah, ketika seluruh dunia ‘berperang’ dengan penularan COVID-19.

Pengarah Urusan, Animasia Studio, Edmund Chan, berkata lebih 100 anak Malaysia akan terbabit dalam produksi filem animasi Young Captain Nemo.

Chan menjelaskan lebih 100 anak Malaysia akan terbabit dalam produksi filem animasi Young Captain Nemo. Foto Ihsan Animasia Studio
Chan menjelaskan lebih 100 anak Malaysia akan terbabit dalam produksi filem animasi Young Captain Nemo. Foto Ihsan Animasia Studio

“Selepas Tahun Baharu Cina, kami akan menambah tenaga kerja kepada 30 peratus dengan keutamaan diberi kepada bakat tempatan.

“Walaupun wabak COVID-19 memberi kesan kepada banyak pihak, pasukan pengurusan Animasia sangat cekap dan pantas untuk melaksanakan langkah keselamatan sebelum kerajaan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP).

“Dengan berbuat demikian, produktiviti kami meningkat dan kami berjaya menambah ‘output’ pengeluaran yang mendahului rekod tahun sebelumnya,” katanya kepada BH Online.

Chan berkata, pihaknya juga mahu meneroka inisiatif Film In Malaysia Incentive (FIMI) agar dapat memanfaatkan rebat 30 peratus untuk semua perbelanjaan pengeluaran yang layak daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Kami melihat potensi dalam membawa skop pekerjaan yang lebih besar ke Malaysia,” katanya.

Sebelum ini Animasia melancarkan siri animasi Beyblade Burst di TV2 dan Harry & Bunnie serta Chuck Chicken di Netflix, TV Sarawak dan stesen Korea Selatan, TV JEI.

Kira-kira 10 tahun lalu, Animasia mengadaptasi Supa Strikas daripada komik ke siri animasi yang ditonton lebih sejuta orang di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Latin.

Mengenai produksi filem Young Captain Nemo, Chan berkata, anak tempatan akan mengendalikan kerja produksi animasi utama manakala proses pra dan pasca produksi diserahkan kepada Rainshine di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Chan berkata, Young Captain Nemo yang berdurasi antara 70 hingga 80 minit akan dihasilkan dalam bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, Animasia akan berusaha menghasilkan sari kata dan membuat alih suara dalam bahasa serantau.

Young Captain Nemo berkisar pengembaraan Kapten Nemo daripada keturunan Jules Verne yang pasti menarik perhatian kanak-kanak. Foto Ihsan Animasia Studio
Young Captain Nemo berkisar pengembaraan Kapten Nemo daripada keturunan Jules Verne yang pasti menarik perhatian kanak-kanak. Foto Ihsan Animasia Studio

“Skrip filem pertama dalam proses dihasilkan pasukan di Los Angeles manakala Animasia sedang berusaha menyiapkan ‘teaser’ yang akan dilancarkan pada suku ketiga 2021,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rainshine Entertainment, Neeraj Bhargava, berkata penerbitan produk hiburan yang bermakna untuk penonton global adalah nadi operasi syarikat.

“Ketika Kinsane iaitu anak syarikat Rainshine memperoleh hak penyesuaian buku Young Captain Nemo, kami anggap sebagai pengembaraan aksi kontemporari dengan watak ikonik bersama plot yang menarik perhatian universal.

“Ini dianggap peluang baik untuk berkongsi dengan dunia terutama penonton yang lebih muda, kisah inspirasi yang ditenun ke dunia misteri, fantasi dan sains,” katanya.

Young Captain Nemo berkisar pengembaraan Kapten Nemo daripada keturunan Jules Verne.

Gabriel Nemo yang berusia 12 tahun melawan penjahat bersama rakan-rakan dalam kapal selam dikenali sebagai Nemotech.

Trilogi ini adalah projek kolaboratif yang menyatukan nama terkenal daripada dunia sastera, hiburan dan animasi.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews