PARIS: Pengeluar dari Jepun, Yamaha mengumumkan hari ini bahawa mereka akan kekal dalam Moto GP hingga 2026 ketika memperkenalkan pasukan untuk musim akan datang.
Penunggang Sepanyol, Maverick Vinales, 26, akan berlumba bersama pelumba berusia 21 tahun Perancis, Fabio Quartararo dalam penampilan sulungnya dengan pasukan utama itu ketika juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi menyertai pasukan satelit, SRT.
“Di Yamaha kami amat berbangga mengambil bahagian dalam perlumbaan Grand Prix. Kami gembira mengesahkan pembaharuan kontrak selama lima tahun lagi yang menjadi permulaan musim penting buat syarikat kami,” kata Ketua Eksekutif Yamaha, Toyoshi Nishida dalam satu kenyataan.
“Yamaha mula menyertai perlumbaan Grand Prix Dunia pada 1961. Selepas 60 tahun, minat Yamaha dalam perlumbaan motorsikal dan keinginan meneruskan cabaran tidak pernah berubah,” katanya.
Musim baharu perlumbaan akan bermula 28 Mac ini dekat Qatar.
Kontrak Yamaha bersama SRT berada dalam tahun terakhir dan Pengarah Urusan, Lin Jarvis berkata ia boleh digantikan dengan akademi VR46 yang dinamakan sempena Rossi serta nombor jenteranya pada 2022.
Honda, Ducati dan KTM juga menandatangani perjanjian baharu bersama Moto GP hingga 2026. – AFP
Sumber: Berita Harian