fbpx

PBB gesa wujudkan pelan vaksinasi global

Foto: eco-business.com

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru supaya usaha global menangani COVID-19 diselaraskan, sambil memberi amaran bahawa jurang ketidaksamarataan dalam usaha awal membawa risiko kepada seluruh dunia.

Buat pertama kali dalam sejarah, sesi Majlis Keselamatan PBB menyaksikan menteri luar mengadakan mesyuarat mengenai vaksinasi secara dalam talian.

Ia dipengerusikan oleh Britain, yang menyatakan dunia mempunyai ‘tanggungjawab moral’ untuk bertindak bersama memerangi pandemik yang sudah meragut nyawa lebih 2.4 juta orang.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan apabila hanya 10 negara sudah memberikan 75 peratus dos setakat ini, manakala 130 negara lain langsung tiada vaksin.

“Dunia terdesak memerlukan pelan vaksinasi global untuk menyatukan semua yang mempunyai kuasa, kepakaran saintifik dan keupayaan penghasilan serta kewangan,” tegas Guterres.

Beliau berkata, Kumpulan 20 (G20) ekonomi utama berada dalam kedudukan terbaik untuk menubuhkan sebuah pasukan bertindak bagi pembiayaan dan pelaksanaan vaksinasi global dan beliau menawarkan sokongan penuh PBB.

“Jika virus ini dibiarkan berleluasa, ia akan bermutasi lagi. Varian baharu boleh menjadi semakin mudah menular, lebih berbahaya dan mungkin mengancam keberkesanan vaksin dan diagnostik sedia ada.

“Ini bermakna, pandemik akan berlarutan, membolehkan virus itu kembali menjadi musibah,” tambah beliau. – AFP

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts