WASHINGTON: Kenderaan robotik dilancarkan agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat, Perseverance selamat mendarat di permukaan planet Marikh pada Khamis, selepas berada tujuh bulan di angkasa.
Dengan pendaratan itu, ia sekali gus memulakan misi pencarian kehidupan mikrob di planet itu.
“Pendaratan disahkan,” kata ketua operasi, Swati Mohan sekitar jam 3.55 petang (2055 GMT), ketika kawalan misi di Makmal Perejangan Jet NASA di Pasadena yang disambut sorakan.
Kapal angkasa yang dipandu secara autonomi selesai 11 minit awal, iaitu tempoh diperlukan untuk isyarat radio kembali ke Bumi.
“WOW!!,” ciap Pentadbir Bersekutu NASA, Thomas Zurbuchen dalam satu hantaran di Twitter, selain memuat naik gambar hitam putih pertama kenderaan Perseverance dari Kawah Jezero di hemisfera utara Marikh.
Selama beberapa tahun, Perseverance akan cuba mengumpulkan 30 sampel batu dan tanah dalam tiub tertutup yang seterusnya akan dihantar kembali ke Bumi pada 2030 untuk analisis makmal.
Bersaiz kenderaan utiliti sukan (SUV), Perseverance seberat satu tan memiliki lengan robot sepanjang dua meter, dilengkapi 19 kamera, dua mikrofon dan beberapa instrumen canggih untuk membantu mencapai tujuan saintifiknya.
Sebelum memulakan operasi pencarian, kenderaan robotik itu mengatasi ‘tujuh minit ketakutan’ menjadikan ia pendaratan yang berisiko dan menjejaskan hampir 50 peratus misi keseluruhan ke planet itu.
Tidak lama selepas jam 3.30 petang, kapal angkasa Mars 2020 memasuki atmosfera Marikh pada kelajuan 20,000 kilometer (km) sejam, diselaputi pelindung panasnya.
Ia kemudiannya menggunakan payung terjun suprsonik, sebelum melepaskan lapan enjin beg jet untuk melambatkan ia menjunam lebih jauh. Akhirnya, kenderaan robotik itu dapat diturunkan dengan berhati-hati, ke permukaan Marikh dengan satu set kabel.
Jurutera utama untuk pendaratan, Allen Chen, berkata tapak sasarannya digambarkan benar-benar berbahaya untuk pendaratan. – AFP
Sumber: Berita Harian