fbpx

PGA tumpas cubaan seludup 995 kg ketum

PGA merampas kira-kira 995 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai RM29,850 dalam rampasan berasingan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar serta Kuala Perlis pada Sabtu dan semalam.

KANGAR: Aktiviti penyeludupan di sempadan semakin menjadi-jadi apabila hanya dalam tempoh dua hari, Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 995 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai RM29,850 dalam lima rampasan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar serta Kuala Perlis pada Sabtu dan semalam.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, rampasan terbesar melibatkan 300 kilogram ketum bernilai kira-kira RM9,000 di Felda Mata Ayer, Padang Besar, Sabtu lalu.

Katanya, dalam rampasan kira-kira pukul 6.30 petang tersebut, anggota PGA yang sedang membuat rondaan di kawasan kebun getah di Felda Mata Ayer menemukan 10 guni putih mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 300 kilogram.

“Daun ketum tersebut ditemukan dalam sebuah Toyota Hilux dipercayai ditinggalkan penyeludup ketika dikejar anggota. Kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM65,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, anggotanya turut merampas 11 guni daun ketum seberat 275 kilogram bernilai RM8,250 di sebuah kawasan tepi sungai di Kampung Wai, Kuala Perlis kira-kira pukul 11.15 malam, pada hari sama.

Katanya, usaha membanteras penyeludupan bahan tersebut diteruskan lagi keesokan harinya apabila pihaknya sekali lagi merampas kira-kira 150 kilogram daun ketum bernilai RM4,500 di sebuah kawasan kebun getah di Padang Besar.

“Daun ketum ini ditemukan anggota PGA dalam lima guni putih semasa membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Pada pukul 7.20 pagi, sebanyak lapan lagi guni putih mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 240 kilogram bernilai kira-kira RM7,200 ditemukan di satu lagi kebun getah berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar,” ujarnya.

Menurutnya lagi, rampasan terakhir yang dibuat semalam adalah pada pukul 10 pagi melibatkan 30 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM900 dalam sebuah pikap Mitsubishi Pajero di sebuah ladang getah di Chuping.

Jelas beliau, semua daun ketum tersebut dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke Thailand dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews