Los Angeles: Pengarah Samantha Stark dan penulis skrip Liz Day yang menghasilkan filem dokumentari Framing Britney Spears mahu membuat sambungan filem terbabit.
Hasrat mereka disampaikan menerusi wawancara dengan The Hollywood Reporter apabila ditanya berkenaan perkara ini.
“Kami sebenarnya masih memiliki banyak klip yang belum terpakai dalam menggarap Framing Britney Spears. Jadi kami boleh menghasilkan filem seterusnya dari klip ini.
“Sejak filem dokumentari ini ditayangkan, kami mendapat banyak informasi menarik yang kami selidiki dan boleh disampaikan lebih lanjut,” kata Liz Day.
Samantha Stark pula berkata, perbahasan mengenai ‘conservatorship’ yang dialami Britney boleh menjadi fokus sambungan filem ini.
“Ia boleh dimulakan seperti apa keadaan ‘conservatorship’ sehinggalah orang-orang yang terbabit didalamnya.
“Saya rasa masih banyak cara untuk mempelajari perihal ini dan bagaimana ia berjalan. Malah, mengapa orang-orang yang terbabit dalam pembuatannya dan menjalankannya,” kata Samantha Stark.
Mereka menegaskan ayah Britney, Jamie Spears, menjadi orang yang paling utama terkait ‘conservatorship’ yang dialami penyanyi lagu Toxic itu kerana disebut dalam pengadilan.
Namun, Samantha Stark yakin Jaime bukan satu-satunya orang yang terbabit.
“Tetapi jelas bahawa dia bukan satu-satunya orang yang melakukan hal ini dan dia bukan juga orang yang mengaut keuntungan kewangan.
“Jadi, saya rasa penting untuk melihat semuanya dan tentu sahaja akan sangat penting untuk terus mengikuti persidangan yang berlangsung,” katanya.
Filem dokumentari Framing Britney Spears dikeluarkan oleh The New York Times pada 5 Februari lalu.
Salah satu topik yang dibahaskan adalah ‘conservatorship’ dan krisis Britney dengan bapanya sehingga peminat mengulang semula #FreeBritney.
‘Conservatorship’ adalah konsep perintah hukuman perwalian di Amerika Syarikat berdasarkan keputusan pengadilan terhadap seseorang individu yang dianggap tidak mampu membuat keputusannya sendiri.
Biasanya ‘conservatorship’ ditujukan untuk mewakili kelompok warga emas, rentan, atau menderita masalah kejiwaan serius seperti schizophrenia atau demensia.
Dalam kes Britney, ‘conservatorship’ berkaitan urusan kewangan dan perubatan dipegang oleh ayahnya mengikut suara perwakilan seperti diputuskan dalam hukuman.
Framing Britney Spears memaparkan pandangan media terhadap penyanyi berusia 39 tahun ini.
Ia bermula dengan kariernya yang meleset di awal milenium sehingga pelbagai skandal dan juga kejatuhan kariernya yang gemilang lebih dari sedekad lalu.
Britney sendiri secara tidak langsung memberikan reaksi terhadap dokumentari yang menjadi kontroversi itu. Dia memuat naik video lagu Toxic di Instagram dengan keterangan panjang.
“Setiap orang memiliki cerita mereka sendiri dan mereka mengambil cerita orang lain. Kita semua memiliki begitu banyak kehidupan yang cerah dan indah,” tulisnya.
Selepas dokumentari ini dikeluarkan, Britney dikhabarkan bekerja sama dengan seorang penerbit wanita untuk menghasilkan dokumentari sendiri.
Tidak lama kemudian, Netflix mengumumkan akan menghasilkan dokumentari Britney bergandingan dengan penerbit Erin Lee Carr.
Sumber: Harian Metro