fbpx

Pengasas ‘Sugarbook’ mengaku tidak bersalah

CHAN EU BOON dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini atas pertuduhan menyiarkan hantaran sehingga menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam Februari lalu.

SHAH ALAM: Selepas enam hari direman, pengasas aplikasi ‘Sugarbook’ kini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyiarkan hantaran sehingga menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam, Februari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Chan Eu Boon, 34, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sabreena Bakar@Bahari selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, usahawan dalam perniagaan teknologi maklumat itu didakwa menggunakan sebuah laman web dengan menyiarkan sebuah hantaran yang bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby Universiti In Malaysia’.

Eu Boon didakwa dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam bahawa mana-mana orang akan terdorong untuk melakukan suatu kesalahan yang bertentangan dengan ketenteraman awam.

Berdasarkan pertuduhan, hantaran itu dilihat pada 10 Februari lalu kira-kira pukul 6.26 petang di sebuah universiti awam di sini.

Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh yang sama hantaran dilihat kira-kira pukul 10 pagi.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang telah bekerja di Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu itu didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawa peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam T. Shashi Devan dan Pauling Hee tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 9.40 pagi dengan tangan bergari dan dikawal anggota polis.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asnaf Anuar Sharuddin menawarkan ikat jamin RM100,000 selain tertuduh menyiarkan kenyataan jumlah pelajar terlibat dengan kegiatan tidak bermoral.

Bagaimanapun, peguam T. Shashi berkata, tawaran ikat jamin pihak pendakwaan tidak munasabah kerana anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.

“Ikat jamin terhadap anak guam saya adalah bagi memastikan kehadirannya dan segala keterangan boleh diambil di laman sosial untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tarikh sebutan semula kes pada 26 Mac hadapan.

Pada 17 Februari lalu, usahawan warga tempatan itu ditahan di pekarangan sebuah kondominium di Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang.

Penahanan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan IPD Shah Alam dan suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook. 

Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan tanpa reman selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap lelaki terbabit. Susulan penolakan reman, pihak pendakwaan telah membuat semakan dan mahkamah membenarkan tertuduh direman.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews