fbpx

R25 bertembung EX5, warga emas maut

KEADAAN motosikal Honda Ex5 yang ditunggang Johari Kassim selepas terlibat kemalangan di Jalan Lendu berhadapan Taman Intekma, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH: Seorang warga emas menemukan ajal selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Lendu berhadapan Taman Intekma di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, Johari Kassim, 67, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu van kilang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari simpang Taman Intekma ke arah Lendu.

“Kemalangan berlaku ketika warga emas itu keluar simpang untuk ke Lendu sebelum dilanggar sebuah motosikal lain jenis Yamaha YZF-R25 yang dalam perjalanan arah sama.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Alor Gajah pada pukul 10.20 malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelasnya, penunggang motosikal Yamaha yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor berusia 26 tahun hanya mengalami luka-luka di muka dan dirawat di zon kuning hospital sama.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts