fbpx

Berita palsu vaksin: Polis sedia buka kertas siasatan jika terima laporan

Acryl Sani menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat.

KUALA LUMPUR: Golongan anti vaksin yang menyebarkan berita palsu berhubung pengambilan vaksin COVID-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima sebarang laporan berhubung isu berita palsu berkaitan suntikan vaksin.

“Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, menjawab persoalan yang dikemukakan media mengenai berita palsu yang menggalakkan orang ramai supaya tidak mengambil suntikan.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada sebarang laporan polis diterima pihaknya sehingga kini.

Pada masa sama, Acryl Sani berkata, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat.

Sebelum ini, seorang pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, golongan anti vaksin yang kerap menyebarkan berita palsu boleh didakwa.

Menurut Dr Zuraini Ab Hamid, sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya, menurut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, peguam Lim Wei Jiet mencadangkan dua strategi untuk kerajaan membendung golongan tersebut.

Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts