fbpx

Berjaya, Maybank taja Liga M?

PETALING JAYA: Kurang 10 hari sebelum Liga Malaysia (Liga M) 2021 membuka tirai dan ketika dunia ‘dibadai’ Covid-19, bola sepak tempatan menerima perkhabaran menggembirakan apabila dua syarikat gergasi tempatan dikaitkan sebagai penaja baharu Liga M.

Desas-desus bertiup kencang, mengatakan Berjaya Corporation Berhad dan Maybank
akan menjadi ‘keluarga baharu’ Liga M.

Begitupun sehingga kini, tiada sebarang pengesahan dikeluarkan sama ada oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mahupun ke dua-dua syarikat tersebut.

Maybank amat dekat dengan sukan tanah air apabila sering terlibat dalam badminton dan golf, malah penarikan diri CIMB sebagai penaja Liga M musim ini antara yang menarik minat mereka untuk terlibat dalam bola sepak.

Pengasas Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan pula adalah peminat No. 1 bola sepak.

Beliau memiliki kelab yang bersaing dalam Liga England, Cardiff City, selain KV Kortrijk di Belgium, yang kini menempatkan bintang remaja sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin.

Jika berita itu benar, ia mampu memberi sinar kepada sukan nombor satu negara yang ketika ini terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Utusan Malaysia difahamkan MFL sudah mencapai kata sepakat dengan penaja baharu dan sepatutnya mengumumkan
berita gembira itu sebelum saingan musim ini bermula.

Bagaimanapun penundaan sepak mula Liga M dari Februari ke 5 Mac depan memberi kesan kepada perjanjian.

Namun begitu, rundingan semula telah diadakan di antara MFL dengan kedua-dua penaja berkenaan.

Komitmen tinggi dan kesungguhan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang juga Presiden MFL antara faktor syarikat gergasi tersebut berminat menaja liga tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini menegaskan, pihaknya hanya akan buat kenyataan rasmi apabila sudah menandatangani perjanjian.

Sumber: Utusan Online

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts