fbpx

Buka sempadan, rentas negeri selepas imunisasi capai tahap tertentu

Foto: The Star

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengharungi cabaran 2020 dan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada sektor kesihatan serta ekonomi negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak yang dipelajari dalam tempoh setahun itu dan kerajaan bertekad untuk memacu pemulihan ekonomi dengan lebih rancak pada tahun ini demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, kerajaan akan menggubal strategi mengawal penularan Covid-19 berdasarkan data diperoleh dan akan mengambil pendekatan lebih bersasar dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat di lokasi kluster jangkitan.

Pada masa sama, beliau berkata, aktiviti ekonomi akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan sosial serta prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Mengambil kira situasi itu, katanya, kerajaan akan merangka empat langkah tambahan dalam tempoh terdekat.

“Pertama adalah menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutama golongan miskin dan mengalami kehilangan pendapatan.

“Kedua adalah meningkatkan sokongan kepada perniagaan khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca PKP,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, langkah ketiga yang dirangka iaitu untuk memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutama memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan dan mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak selain menggalakkan pelaburan baharu dari dalam serta luar negara.

Beliau berkata, keempat adalah memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan serta inovasi.

“Walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan rentas negeri dan aktiviti sosial serta perniagaan yang mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

“Pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan selepas pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts