LONDON: Lennox Lewis menegaskan dia sedia bertarung semula dengan Mike Tyson jika peminat tinju mahu menyaksikannya.
Kedua-dua bekas jaguh heavyweight itu terbabit dengan pertarungan epik 19 tahun lalu apabila Lewis menewaskan bintang Amerika Syarikat itu pada pusingan kelapan dan legenda tinju berusia 55 tahun dari Britain terbuka untuk pertarungan semula dengan Tyson jika berjaya menarik ramai peminat tinju.
Lewis berkata kepada TMZ: “Jika masyarakat peminat tinju mahukannya, barulah kami mungkin boleh berunding.
“Saya tak tahu, tiada apa yang mendorong saya untuk masuk ke gelanggang sekarang ini. Orang ramai mungkin mahu menyaksikannya tetapi saya tak tahu.”
Lewis bersara selepas menewaskan Vitali Klitschko pada 2003 tetapi baru-baru ini mengakui dia ada menyimpan hasrat melakukan kemunculan semula.
Pertarungan pertamanya dengan Tyson salah satu pertarungan heavyweight terbesar dengan Lewis menewaskan legenda Amerika Syarikat di Memphis untuk mempertahankan gelaran dunianya.
Lewis turut dikaitkan baru-baru ini dengan pertarungan semula dengan bekas pencabar heavyweight Riddick Bowe.
Tyson, 54, melakukan kemunculan semulanya pada November lalu dengan pertarungan pertunjukan lapan pusingan menentang Roy Jones Jr dan Tyson memberi bayangan di Instagram Legends Only League bahawa dia bersedia menentang Evander Holyfield untuk kali ketiga selepas dua kali tewas kepada petinju sama.
Tyson sejak akhir-akhir ini semakin sibuk dan berada di Miami kelmarin ketika menyaksikan Canelo Alvarez menewaskan Avni Yildirim.
Sumber: Harian Metro