fbpx

Pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula Jumaat ini

Foto: TourRadar

KOTA KINABALU: Pendakian Gunung Kinabalu yang dihentikan sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu, dibenarkan semula bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun, Taman-Taman Sabah, dalam kenyataannya memaklumkan hanya pendaki yang sudah menjalani ujian calitan COVID-19 dengan keputusan negatif dibenarkan mendaki.

Katanya, ujian calitan perlu dilakukan tiga hari sebelum tarikh pendakian sebagai antara langkah pencegahan bagi mengelak penularan COVID-19 ketika aktiviti pendakian di gunung berkenaan.

“Pendaki dan orang ramai dimohon merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” kata kenyataan itu yang dimuat naik pada laman Facebook Taman-Taman Sabah, hari ini.

Sebelum ini, Taman-Taman Sabah mengumumkan pembukaan semula 10 kawasan taman di bawah pengurusannya termasuk Taman Kinabalu di Kundasang, Ranau, bermula 25 Februari lalu.

Bagaimanapun, kemasukan pengunjung ke semua taman terbabit dihadkan kepada 100 orang sehari bagi menjaga penjarakan fizikal dan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pendakian di Gunung Kinabalu turut dihadkan kepada 100 pendaki, manakala tiada had umur ditetapkan asalkan sudah menjalani ujian calitan COVID-19 dengan keputusan negatif.

Taman-Taman Sabah turut menerima pengesahan pemvaksinan bagi individu yang sudah menerima vaksin COVID-19 sebagai kebenaran untuk mendaki tanpa perlu menjalani ujian calitan.

Sementara itu, berita pembukaan semula aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu menggembirakan malim gunung yang hilang sementara pekerjaan sebagai pengiring pendaki sejak kira-kira dua bulan lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi, berkata pembukaan semula aktiviti itu melegakan mereka walaupun sedar kemungkinan tidak ramai datang mendaki berikutan penguatkuasaan larangan rentas daerah.

“Ia memang melegakan kami kerana sudah lama malim gunung tidak mendaki. Ketika pendakian dibenarkan akhir tahun lalu, hanya sekali saya dapat mendaki.

“Sebagai malim gunung, mendaki sudah menjadi rutin kami, jadi apabila dimaklumkan pendakian dibuka semula, ia berita gembira bagi kami,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Ketika ini, kira-kira 200 malim gunung terpaksa mencari pekerjaan sementara termasuk berkebun bagi menyara hidup berikutan penutupan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu.

Pendakian di gunung tertinggi Asia Tenggara itu dihentikan beberapa kali berikutan pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu, disusuli PKPB pada Oktober tahun lalu dan PKP terbaru sejak awal Januari lalu.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Polis buru suspek pecah rumah

Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai

Read More »
Kwiknews