fbpx

Cheng Hoe gembira De Paula perkuat Harimau Malaya

PUTRAJAYA: Berita mengenai Guilherme De Paula mendapat status pemain naturalisasi ketiga skuad Harimau Malaya menjadi perkhabaran gembira buat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Malah, beliau meletakkan harapan tinggi kehadiran penyerang Perak itu mampu menajamkan lagi jentera serangan skuadnya menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada Jun ini.

Bekas pengendali Kedah itu berkata, beliau akan memanggil De Paula bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dijangka diadakan pada 22 hingga 30 Mac ini.

“Memang dalam perancangan kita kalau dia dapat pasport Malaysia kita akan panggil untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada Mac ini. Sudah tentu kita mengharap dia berada dalam prestasi terbaik dan saya rasa dia cukup bermotivasi untuk menyertai kita.

“Kita juga harap kehadiran De Paula boleh beri impak dan menguatkan lagi jentera serangan kerana kita tahu pasukan kebangsaan mempunyai sedikit masalah dari segi ketajaman penyudah.

“Maka dengan kehadirannya, diharap mampu menyelesaikan masalah itu tetapi kita tidak akan terus beri dia tekanan,” katanya, semalam.

Aksi De Paula (kanan) pada saingan Liga Super musim lalu. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Difahamkan berita mengenai kelulusan De Paula mendapat taraf naturalisasi diterima FAM pada minggu lalu. Untuk rekod, skuad Harimau Malaya sebelum ini sudah memiliki dua pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan panggilan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bulan ini bakal disertai tiga pemain naturalisasi itu.

“Memang dalam perancangan kita akan panggil ketiga-tiga pemain naturalisasi iaitu Sumareh, Liridon dan De Paula menyertai kem latihan pasukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts