fbpx

Kisah Ratu Elizabeth II menang trofi

LOS ANGELES: Kisah kehidupan Ratu Elizabeth II yang dipaparkan drama bersiri The Crown mengungguli kategori Drama Siri Terbaik pada Anugerah Golden Globe Ke-78 di sini, hari ini.

Naskhah ciptaan Peter Morgan pernah memenangi trofi sama pada Anugerah Golden Globe 2017 dan pelbagai anugerah utama termasuk Aktres Terbaik sejak musim pertama siri itu diperkenalkan, empat tahun lalu.

Drama yang disiarkan saluran penstriman, Netflix itu turut menyaksikan dua pelakon, Emma Corrin dan Josh O’Connor mengungguli trofi Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Watak mereka sebagai Putera Charles dan mendiang Puteri Diana memikat hati juri hingga melayakkan mereka menggenggam trofi idaman semua pelakon.

Ketika berucap secara maya, Corrin meluahkan rasa kagum terhadap Lady Diana yang dianggap figura dengan kisah hidup yang menjadi inspirasi wanita di seluruh dunia.

“Anda mengajar saya erti belas kasihan dan empati yang sukar untuk diukur atau dibayangkan.

Corrin memberi dedikasi kejayaan kepada Lady Diana yang mengajar erti belas kasihan dan empati terhadap insan lain. Foto IG The Crown Netflix
Corrin memberi dedikasi kejayaan kepada Lady Diana yang mengajar erti belas kasihan dan empati terhadap insan lain. Foto IG The Crown Netflix

“Atas nama semua orang yang mengingat dirimu dengan penuh kasih sayang dan penuh semangat di hati kami, terima kasih,” katanya.

Julung kali memenangi trofi Golden Globe, Corrin merakamkan penghargaan buat ‘suaminya’ di layar skrin iaitu O’Connor yang banyak membantu menghidupkan watak Diana serta menjadikan penggambaran menggembirakan.

Kejayaan The Crown dilengkapi dengan kemenangan Gillian Anderson yang memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonan hebatnya sebagai Perdana Menteri Britain ketika era berkenaan, mendiang Margaret Thatcher.

The Crown meraih empat trofi pada Anugerah Golden Globe 2021 yang disiarkan secara virtual dari Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), pagi tadi. Foto IG The Crown Netflix
The Crown meraih empat trofi pada Anugerah Golden Globe 2021 yang disiarkan secara virtual dari Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), pagi tadi. Foto IG The Crown Netflix

Sementara itu, filem arahan Chloe Zhao, Nomadland dinobatkan sebagai Filem Terbaik (Drama) manakala Borat Subsequent Moviefilm untuk kategori Filem Terbaik (Komedi).

Kemenangan itu turut mencatat sejarah buat Zhao apabila menjadi pengarah wanita pertama dari Asia yang memenangi anugerah itu.

Nomadland yang berkisar mengenai wanita yang terpaksa hidup sebagai manusia nomad selepas segala harta miliknya musnah akibat tragedi, mengalahkan empat saingan terdekat iaitu The Father, Mank, Promising Young Woman dan The Trial of the Chicago 7.

Lakonan mantap mendiang aktor Chadwick Boseman sebagai pemain trumpet bernama Levee dalam filem Ma Rainey’s Black mendapat pengktirafan juri apabila dianugerahkan dengan trofi Aktor Terbaik .

Trofi Aktres Terbaik pula disandang Andra Day menerusi filem The United States vs Billie Holiday.

Berikutan dunia masih dilanda pandemik COVID-19, penganjuran Golden Globe 2021 yang ditangguhkan Januari lalu, dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan dipancarkan secara virtual ke seluruh dunia, malam tadi, waktu tempatan.

Biarpun dianjurkan mengikut norma baharu apabila dua pengacaranya, Tina Fey dan Amy Poehler mengendalikan acara berprestij ini dari dua lokasi berbeza, kemeriahan masih dirasakan.

Selain itu, acara anugerah ini memberi anjakan paradigma terhadap industri perfileman antarabangsa apabila menyaksikan senarai pencalonan didominasi judul yang ditayangkan di saluran penstriman atau platform digital.

Ini berikutan penularan wabak COVID-19 yang mengakibatkan pawagam menghentikan operasi lalu memaksa penggiat filem mencari alternatif lain untuk menayangkan karya mereka. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews