fbpx

LHDN guna data risikan kemas operasi

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan lebih agresif dalam meneroka data perisikan yang baharu dan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi mengenal pasti kaedah perniagaan dan bagaimana pengelakan cukai dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, untuk meningkatkan pematuhan sukarela dalam kalangan pembayar cukai, tahun ini LHDN sudah membentuk satu jawatankuasa kerja untuk menyediakan Rangka Kerja Tadbir Urus Cukai Korporat (TCG) khusus untuk pembayar cukai syarikat.

Katanya, objektif utama TCG untuk memastikan semua syarikat membayar cukai yang sepatutnya dengan penyeliaan dan campur tangan yang minimum oleh LHDN.

“Selain itu, LHDN juga perlu memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam hak mencukai pendapatan ekonomi digital dengan membuat semakan undang-undang percukaian bagi menangani ledakan ekonomi digital yang pastinya menuntut kajian menyeluruh dan perubahan polisi percukaian.

“Selain daripada strategi pematuhan cukai berimpak tinggi dan berkesan dalam menjamin kutipan cukai yang mapan, LHDN juga tidak memandang ringan terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.

“Walaupun dalam persekitaran yang sangat mencabar khususnya dalam tempoh pandemik ini, kami akan terus memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan mesra pelanggan sentiasa diberikan keutamaan,” katanya di majlis sambutan Hari Hasil ke-25 secara maya di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dr Sabin berkata, pihaknya akan mengambil langkah untuk memperkasakan kemahiran dan pengetahuan pegawai barisan hadapannya di mana mereka akan diberikan pengetahuan percukaian terkini dan latihan sewajarnya dalam menjamin perkhidmatan yang cekap, profesional dan berintegriti.

Menurutnya, pengurusan LHDN memandang serius isu kesinambungan operasi yang merujuk kepada ketidakmampuan pentadbir cukai meneruskan operasi ekoran daripada gangguan faktor luar kawal.

“Pemerkasaan budaya pengurusan risiko melalui pengenalpastian, pemantauan dan tindakan kawalan risiko sentiasa dilakukan LHDN,” katanya.

Sementara itu, LHDN melancarkan Program Jom Klik HASiL bersempena dengan kempen penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang bermula 1 Mac hingga 30 April depan bagi kategori pembayar cukai selain perniagaan dan 1 Jun hingga 30 Jun ini bagi kategori pembayar cukai perniagaan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts