BEIJING: Seorang wanita terkejut apabila kotak yang disangka mengandungi iPhone ditempahnya, hanya berisi yogurt berperisa epal.
Wanita bernama Luu dari wilayah Anhui, timur China sebelum itu membeli iPhone 12 Pro Max daripada sebuah laman web pada 16 Februari lalu.
Dia kemudian membayar 10,099 yuan (kira-kira RM6,300) untuk telefon pintar itu.
Beberapa hari kemudian, dia menerima bungkusan namun terperanjat dengan kandungan bungkusan itu.
“Pekerja kurier berkata, dia meletakkan bungkusan itu di dalam kotak bungkusan di rumah saya,” katanya menerusi media sosial China, Weibo.
Polis tempatan, pada Khamis berkata, mereka kini menyiasat kejadian itu sebagai kes curi, lapor The Global Times.
Syarikat yang menjual produk itu dan kurier berkenaan menegaskan akan menja lankan siasatan lanjut mengenai kehilangan telefon terbabit.
Akaun media sosial Liu kemudiannya tular dan orang ramai mula membuat spekulasi kehilangan telefon berkenaan.
“Saya fikir mungkin pekerja syarikat kurier yang menukar telefon bimbit berkenaan,” kata seorang pengguna Weibo.
Katanya, dia turut berdepan masalah sama selepas menempah sepasang kasut dari Nike.
Sumber: Harian Metro