fbpx

TH agih keuntungan 3.1 peratus

Foto: Malay Mail

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus yang bakal dimanfaatkan kira-kira sembilan juta pendepositnya.

Agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 itu lebih tinggi berbanding 3.05 peratus pada 2019.

Agihan keuntungan bagi tahun 2020 berjumlah RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH pada 2020 yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung 2019 akibat Pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lalu.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumlah deposit di TH kini mencecah RM76.7 bilion setakat 26 Februari 2021 iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

TH ditubuhkan pada 1963 dengan bertujuan membantu umat Islam menyimpan wang sedikit demi sedikit bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima.

Pada masa sama, TH turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi 2020 berbanding RM86 juta tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka.

Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara.

Sementara itu, urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula jam 8 malam, 2 Mac 2021 sehingga 12 tengah hari, 3 Mac 2021 (Rabu), bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas 12 tengah hari pada Rabu ini menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews