fbpx

TMJ beli Valencia?

KUALA LUMPUR: Adakah kali ini benar-benar Tunku Ismail Sultan Ibrahim membeli kelab Valencia? Itu tanda tanya yang kini berlegar dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah-olah memberi bayangan kemungkinan dirinya bakal membeli kelab LaLiga di Sepanyol itu.

Menerusi perkongsian di laman Story Instagramnya pagi ini, beliau memuat naik pelbagai info mengenai Valencia termasuk ranking semasa kelab itu yang ketika ini menduduki tangga ke-60 terbaik di dunia.

Malah, beliau juga berkongsi nilai sebenar skuad The Bats itu pada harga 408 juta euro atau bersamaan RM1.9 billion.

Menurut Tunku Ismail, beliau memerlukan dua hari untuk berfikir mengenai keputusan untuk mengambil alih kelab terbabit yang ketika ini dimiliki oleh ahli perniagaan terkenal dari Singapura, Peter Lim.

“Saya bukan ahli perniagaan, saya seorang Putera Raja. Wang tidak mendorong saya, hanya kegemilangan dan mencipta sejarah adalah motivasi saya. Bukan rahsia bahawa saya meminati bola sepak, saya sangat bersemangat.

SEBAHAGIAN daripada catatan TMJ di Instagram.

”Saya bukan baru dalam bola sepak, saya berjaya membina sebuah kelab (JDT FC) dari setiap tahun bertanding di zon penyingkiran tetapi kini menjadi mendominasi kejuaraan setiap musim.

“Saya sudah memenangi 16 gelaran dalam lapan musim. Kami adalah kelab terbesar di Asia Tenggara dan salah satu terbesar di Asia,” tulisnya.

Ujarnya lagi, Valencia yang sudah menjuarai LaLiga sebanyak enam kali serta muncul naib juara Liga Juara-Juara Eropah dua kali pada 2000 dan 2001, perlu melakukan perubahan dengan meletakkan individu yang betul dan arif tentang bola sepak.

“Saya ingin mengembangkan empayar saya, melebarkan sayap saya dan mencari cabaran baru. Saya bukan orang yang akan menukar logo atau tradisi kelab anda. Seperti saya katakan tadi, saya seorang kerabat Raja dan bukan ahli perniagaan. Saya di sini untuk capai kejayaan dan melakar sejarah.

“Apa yang diperlukan Valencia? Mereka perlukan seseorang yang tahu tentang bola sepak, dahagakan kejayaan, bersemangat dan memahami betapa besarnya Valencia sebagai sebuah kelab. Langkah pertama, kita memerlukan orang bola sepak di kelab, noktah,” katanya.

Pada tahun lalu, spekulasi sama pernah dilaporkan Arena Metro ketika pertemuan Tunku Ismail dengan Peter Lim di Turin, Itali mencetuskan tanda tanya pemilik JDT itu akan melebarkan sayap ke Eropah.

Pertemuan terbabit turut disahkan oleh media Sepanyol di mana ia turut disertai pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo dan ejen pemain, Jorge Mendes.

Namun selepas itu, tiada perkembangan lanjut berhubung status Valencia hinggalah Tunku Ismail meluahkan hasrat terbaharunya pagi ini.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews