fbpx

12 ‘lokasi panas’ kebakaran di Melaka

ABU OBAIDAT Mohamad (berdiri) meninjau proses vaksinasi anggotanya di Ibu Pejabat Bomba Negeri Melaka, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Sebanyak 12 ‘lokasi panas’ kejadian kebakaran terbuka di negeri ini termasuk yang berpunca daripada perilaku membakar daun-daun kering dan semak, kini berada dalam pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah negeri, Abu Obaidat Mohamad berkata, kebanyakan lokasi dikenal pasti melibatkan kawasan-kawasan tanah gambut yang mudah terbakar. 

Beliau berkata, bermula Januari sehingga Februari lalu, pihaknya telah melakukan sebanyak 457 operasi pemadaman membabitkan pembakaran terbuka. 

“Jumlah kes pada tahun ini menurun sebanyak 62 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 519 kes, namun, kita telah mengenal pasti 12 lokasi panas yang sering dijadikan tempat pembakaran terbuka. 

“Sehubungan itu, kita telah mengerahkan sepasukan anggota bersama-sama sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berhampiran untuk membuat pemantauan secara berkala bagi mengelak kejadian pembakaran terbuka ini,” katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 peringkat JPBM Melaka di Bukit Katil di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, antaranya kes yang kerap berlaku adalah disebabkan tindakan penduduk membakar daun-daun kering, semak-samun, sisa tanaman dan puntung rokok yang dibuang pengguna jalan raya. 

“Sebagai contoh, kejadian pembakaran terbuka yang dilakukan oleh penduduk di kawasan taman di Bukit Beruang pada bulan Mac tahun lalu sehingga menyebabkan pasukan bomba terpaksa berhempas-pulas memadamkan kebakaran selama lebih dua hari. 

“Baru-baru ini pula, berlaku kebakaran di sebuah ladang sawit di Kampung Bukit Durian yang menyebabkan kira-kira 20 hektar kawasan tanah gambut terbakar dan pasukan kami mengambil masa lebih 96 jam memadamkan kebakaran,” jelasnya.

Tambahnya, rakyat negeri ini dimohon agar sama-sama menjaga alam sekitar dan tidak membuat pembakaran terbuka, apatah lagi pada musim cuaca panas yang sedang melanda.

Bercakap mengenai imunisasi, Abu Obaidat berkata, seramai 543 anggota dan pegawai JBPM Melaka akan menerima suntikan vaksin fasa 1 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. 

Ujarnya, seramai 246 anggota dan pegawai dari daerah Melaka Tengah akan menerima suntikan terlebih dahulu, kemudian disusuli daerah Jasin dan Alor Gajah. 

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews