fbpx

Arab Saudi wajibkan pekerja kesihatan musim haji terima vaksin COVID-19

Foto: CNN

JEDDAH: Arab Saudi mewajibkan pekerja kesihatan yang terbabit dalam ibadah haji pada musim ini untuk menerima vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatannya, Dr Tawfiq Al-Rabiah.

“Anda perlu bersedia awal bagi memastikan tenaga kerja yang diperlukan untuk operasi fasiliti kesihatan di tanah suci Makkah dan Madinah serta di pintu masuk bagi jemaah haji musim 2021.

“Satu jawatankuasa vaksinasi perlu ditubuhkan untuk musim haji dan umrah, yang mana mereka menerapkan penerimaan wajib vaksin COVID-19 untuk pekerja kesihatan yang terbabit,” katanya dalam satu pekeliling rasmi.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly, dalam satu sidang media pada Selasa memaklumkan, sesiapa yang menerima vaksin dan melepasi dua hingga tiga minggu selepas menyelesaikan vaksinasi tidak perlu dikuarantin apabila bersentuhan dengan orang yang dijangkiti.

Katanya, keluk wabak jangkitan COVID-19 sedang melalui fasa ‘turun naik’ dan pihak berkuasa sedang memantaunya dengan teliti.

Sementara itu, kementerian mengisytiharkan 2 Mac setiap tahun sebagai ‘Hari Martir Kesihatan’ bagi mengiktiraf peranan penting oleh wira penjagaan kesihatan yang mengabdikan hidup mereka untuk pekerjaan dan kesihatan masyarakat.

Kementerian turut menyediakan sokongan psikologi dan sosial untuk keluarga mereka.

Arab Saudi melaporkan lima lagi kematian akibat COVID-19 pada Selasa, dengan jumlah kematian setakat ini sebanyak 6,505 kes.

Kementerian merekodkan 302 kes baharu menjadikan seramai 378,002 orang kini dijangkiti penyakit berkenaan.

Terdapat 2,571 kes aktif, dengan 508 daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Sebanyak 136 kes direkodkan di Riyadh, Wilayah Timur (78), Makkah (37) dan lima di Madinah.

Selain itu, seramai 286 pesakit sembuh daripada penyakit itu menjadikan jumlah yang sembuh setakat ini sebanyak 368,926 kes.

Warga Arab Saudi dan ekspatriat di negara itu terus menerima dos vaksin COVID-19 dengan 885,411 orang sudah menerima suntikan. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews