fbpx

Sherman akui cabaran besar menanti KDA FC

ALOR SETAR: Penyerang Kedah Kpah Sherman mengakui bukan satu tugas mudah untuk bersaing dengan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah yang akan membuka saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac ini.

Dia yang meledak enam gol dalam 11 perlawanan musim 2020 bagaimanapun mengakui cabaran besar bakal dilalui skuadnya untuk menghadapi aksi perlawanan penting itu dengan segala perancangan yang dipersiapkan pasukan termasuk melalui lima perlawanan pramusim yang tamat pada 27 Februari lalu.

“Kami sudah memberi usaha terbaik dalam latihan dan perlawanan pramusim yang disediakan sebelum ini dan segala yang ditetapkan oleh ketua jurulatih bakal menjadi panduan yang sangat berguna untuk memulakan aksi perlawanan Sumbangsih jumaat ini.

“Menentang JDT bukan sesuatu yang mudah tambahan beraksi di tempat lawan, malah kami perlu lebih bersedia dan memiliki keazaman yang tinggi dalam usaha memastikan piala berkenaan dapat kami bawa pulang ke Kedah kali ini.

“Sudah pasti saya sebagai penyerang mahukan aksi yang lebih bertenaga dalam gandingan bersama pemain-pemain lain untuk memulakan liga musim ini dan pada masa yang sama saya berharap semua penyokong dapat terus mendoakan kejayaan kami,” katanya.

Manakala bagi penyerang kedua KDA FC iaitu Kipre Tchetche pula melahirkan rasa terujanya untuk kembali menyambung ‘tugas’ penting buat KDA FC selepas liga dihentikan tahun lalu.

“Seperti tahun lalu juga saya mahu memberi fokus 100 peratus untuk memulakan aksi liga musim ini dan memburu kemenangan dalam dengan permulaan perlawanan Sumbangsih jumaat ini.” katanya.

Kedah yang terlepas peluang mendakap piala berkenaan pada tahun lalu kini berazam memulakan kempen Liga M dengan kejayaan pada saingan musim ini.

Pada perlawanan sumbangsih 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pemenang selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews