fbpx

Hospital swasta tak ‘kacau’ program vaksin kerajaan

KUALA LUMPUR: Hospital swasta tidak akan menggunakan peruntukan vaksin kerajaan tetapi membeli jenis vaksin yang lain sebagai alternatif untuk mempercepatkan proses vaksinasi COVID-19 yang sedang dijalankan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata tanggapan bahawa hospital swasta akan mengambil kesempatan sekiranya dibenarkan membuat pembelian vaksin adalah tidak benar sama sekali.

“Ada yang keliru mengenai isu ini, kerajaan sudah membuat pembelian vaksin dan menyediakan jumlah yang cukup untuk penduduk Malaysia termasuk pekerja asing yang bekerja di negara kita.

“Hospital swasta tidak mempertikaikan atau mengganggu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tetapi sekiranya diberi peluang, kami bercadang membeli jenama lain yang diiktiraf oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Laporan media hari ini melaporkan kebimbangan segelintir pihak sekiranya hospital swasta dibenarkan menjual vaksin COVID-19, termasuk kemungkinan dos yang sepatutnya diberikan kepada golongan atau individu memerlukan bakal terjejas.

Beliau turut menegaskan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana hospital swasta akan mengambil bekalan vaksin daripada saluran yang lain, bukan menggunakan sumber kerajaan.

“Ada yang berpandangan, jika hospital swasta mulakan skim vaksinasi, orang yang tidak berkemampuan akan terlepas peluang itu.

“Ini tidak betul kerana jaminan vaksin dari kerajaan tidak akan disentuh langsung.

“Kami sebaliknya mendapatkan bekalan vaksin lain supaya rakyat yang mempunyai isu kecemasan seperti perlu ke luar negara untuk menunaikan ibadat haji, urusan perniagaan dan melanjutkan pengajian dapat divaksin segera,” katanya.

Melalui pendekatan sedemikian, ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa, bahkan membolehkan rakyat Malaysia yang menunggu vaksin percuma dari kerajaan mendapatkan suntikan lebih awal menggunakan kapasiti individu yang mendapatkan khidmat hospital swasta.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews