KUALA LUMPUR: Polis mengesan wujud penularan maklumat melalui media sosial berkaitan iklan penjualan vaksin COVID-19 secara dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata pihaknya sedang memantau perkara itu walaupun pengendali perkhidmatan jualan terbabit sudah mengeluarkan kenyataan menafikan wujud iklan sedemikian.
“Namun kita tidak menolak kemungkinan wujud iklan palsu penjualan vakisn COVID-19 pada masa akan datang.
“Sebagaimana yang diumumkan kerajaan pemberian vaksin COVID-19 dilaksanakan secara percuma, maka sebarang tawaran penjualan vaksin itu oleh mana-mana pihak adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya PDRM menerima dua laporan polis berhubung penipuan jual beli COVID-19 membabitkan kerugian RM285,499.95 dan siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menangguk di air keruh’.
“Mereka perlu sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat yang tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi ini,” katanya.
Zainuddin berkata, pihaknya sentiasa komited melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin secara dalam talian.
Sumber: Berita Harian