fbpx

‘Pulun Kedah Pulun’

Foto: FB Kedah Darul Aman FC

ALOR SETAR: Kelab penyokong Kedah melalui Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) berharap bekalan motivasi yang mengiringi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ke Johor malam esok bakal membantu mereka memenangi perlawanan Sumbangsih kali ini.

Jurucakap GULM, Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata kejayaan merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan mengatasi juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) itu penting bagi memulakan langkah positif skuad Lang Merah menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Kami sebagai kelab penyokong sentiasa membekalkan semangat buat pasukan dan tidak mengharapkan apa-apa balasan atau ganjaran. Cukuplah kami dihadiahkan dengan kemenangan sekali gus membawa pulang piala itu selepas kali terakhir empat tahun lalu.

“Inilah bekalan semangat yang kami tiupkan selama ini untuk semua pemain KDA FC agar sentiasa berjuang berhabis-habisan dalam memburu kejayaan yang diidamkan,” katanya di sini, hari ini. GULM ketika ini dianggotai 25 kelab penyokong bola sepak di Kedah.

Safarizal berkata walaupun penyokong belum dibenarkan masuk ke stadium buat masa ini, pihaknya yakin pemain mampu menyerap semangat `pemain ke-12′ seolah-olah mereka sentiasa bersama sepanjang perlawanan itu.

“Kepada pasukan Kedah, walaupun anda bermain dalam stadium tanpa penyokong, namun anda tidak perlu bimbang kerana anda tidak bersendirian. Penyokong Kedah tetap ‘ada’ di mana-mana dan kami sentiasa berdoa dari kejauhan”.

“Berjuanglah demi lencana didada, demi negeri Kedah dan demi semua penyokong yang mengharapkan kejayaan pada musim ini. Kami mengharapkan mereka melangkah dengan penuh harapan, dan pulang membawa kejayaan. Pulun Kedah Pulun,” katanya.

KDA FC dan JDT dijadual berentap di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok bagi pembukaan saingan Liga M musim ini menerusi perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews