WASHINGTON: Sebuah roket SpaceX tanpa pemandu meletup di tanah semalam selepas melakukan penerbangan dan pendaratan yang kelihatan berjaya.
Ini adalah kegagalan ketiga berturut-turut yang membabitkan prototaip roket Starship, yang diharapkan SpaceX suatu hari nanti akan dihantar ke Marikh.
Dua ujian penerbangan terakhir berakhir dalam kemalangan.
“Pendaratan yang baik,” kata pengulas SpaceX dalam siaran langsung penerbangan ujian, walaupun api keluar di bahagian bawah dan kru berusaha memadamkannya.
Roket meletup beberapa minit kemudian. Ia melambung ke udara dan jatuh kembali ke tanah.
Tiada penjelasan segera diberikan. Seperti yang dilihat pada video SpaceX, roket terbabit kelihatan telah mendarat dengan betul selepas penerbangannya.
Pengasas SpaceX, Elon Musk telah membangunkan roket Starship generasi seterusnya dengan tujuan pergi ke Marikh – walaupun dua prototaip meletup dengan cara yang luar biasa pada ujian terbaru mereka.
Prototaip terbaru, dinamakan SN10, untuk ‘nombor siri 10’, dilancarkan sejurus sebelum sebelum 1120 GMT dari Boca Chica, Texas.
Dua prototaip lain (SN8 dan SN9) terhempas ketika mendarat, masing-masing pada bulan Disember dan awal Februari.
Ujian dilakukan di kawasan yang hampir sepi, yang disewa oleh SpaceX di Texas Selatan berhampiran sempadan dengan Mexico dan di sebelah Teluk Mexico – kawasan cukup luas dan cukup kosong sehingga kemalangan atau letupan tidak akan menyebabkan kerosakan atau kematian.
Selain Marikh, roket itu, jika ia beroperasi, juga boleh digunakan untuk perjalanan yang lebih dekat, terutama ke Bulan. – AFP
Sumber: Berita Harian