fbpx

Teka-teki Avengers: Endgame terjawab

PENAMPILAN Mackie (kiri) dan Stand dalam siri The Falcon and the Winter Soldier yang mula ditayangkan pada 19 Mac ini.

KISAH adiwira Avengers terus mengumpul pengikut di seluruh dunia hingga sekarang.

Justeru, keputusan Marvel Studios menerbitkan siri istimewa The Falcon and the Winter Soldier cukup menggembirakan ramai.

Penantian peminat setia sekuel itu kini pastinya berakhir apabila siri terbabit yang menampilkan Anthony Mackie dan Sebastian Stan akan mula ditayangkan pada 19 Mac ini menerusi saluran Disney+ seluruh dunia, siri itu menjanjikan lebih aksi hebat.

Apatah lagi selepas sekuel terakhir Avengers: Endgame pada 2019, pelbagai teka-teki berlegar di kepala masing-masing. Penonton dambakan jawapan untuk persoalan mereka yang masih tergantung.

RAP berpeluang menemu bual Mackie yang melakonkan watak Sam Wilson atau Falcon dan Stan (Bucky Barnes/Winter Soldier) baru-baru ini mengenai siri itu. Yang pasti, mereka sangat teruja dan tidak sabar menanti reaksi peminat.

Menurut Mackie, banyak perkara yang membuatkan hati mereka berbunga untuk siri terbabit. Paling menggembirakannya adalah perkembangan hubungan watak mereka dengan watak

lain dalam siri itu cukup menarik.

SIRI terbabit akan merungkai perkembangan hubungan setiap watak.

“Ia bukan mengenai bagaimana hubungan antara Falcon dan Winter Soldier yang perlu dibimbangkan. Kami berdua sudah banyak kali bekerjasama dalam filem itu selain sudah kenal rapat.

“Sebaliknya, dalam siri itu, ia lebih kepada bagaimana hubungan kami bersama Daniel Bruhl (Zemo) dan Emily VanCamp (Sharon Carter) berkembang misalnya. Siri itu mengumpulkan watak yang terbabit untuk sama merasai kehangatan ceritanya.

“Malcom (penerbit) dan semua penulis dalam pasukan produksi itu menulis semula cerita terbabit seperti ia pertama kali. Yang pasti, mereka cuma kena pastikan cerita itu selari dengan watak kami,” katanya.

Menyokong hal itu, Stan pula menyifatkan perjalanan cerita dalam The Falcon and the Winter Soldier adalah lebih kepada mendidik penonton mengenai status hubungan mereka.

Baginya, itulah perisa unik yang sebenarnya menjadikan siri berkenaan lebih menarik.

“Daripada sisi Bucky sendiri, banyak perkara yang harus dirungkai kepada penonton mengenainya. Apapun, siri ini tidak lain mengenai dua manusia pelik yang bertemu dan mencari cara terbaik bagaimana untuk bekerjasama.

“Sejak mula lagi watak kami sudah saling membenci di antara satu sama lain hinggalah ke penghujung cerita. Namun, elemen ketegangan itu yang membuatkan wujud sisi lain lebih menarik mengenai perjuangan mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai pandemik Covid-19 yang melanda sekarang, Mackie tidak menafikan ada sudut memperlihatkan kaitan dalam siri itu dengan situasi sekarang. Dia mengakui ketakutan yang dicerminkan dalam siri itu hampir sama dengan ketakutan dirasai sekarang.

“Ada beberapa perkara dalam siri itu yang sebenarnya saya rasa sangat lazim dengan situasi sekarang. Ada kaitan yang wujud apabila bercerita mengenai situasi dihadapi kita sejak tahun lalu.

“Memang rasa pelik juga bagaimana skrip dalam siri itu serta wataknya boleh dikaitkan dengan kuat kepada situasi sekarang. Rasa menakutkan pula apabila skripnya kedengaran sangat betul terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Bercerita mengenai watak Bucky pula, Stan mengakui transisi daripada Winter Soldier kepada Bucky sendiri semakin ketara. Dalam siri terbabit, sisinya sebagai manusia biasa lebih menonjol untuk penonton mengenai watak sebenarnya.

CERITA Falcon dan Winter Soldier diadaptasi ke siri pula.

“Sangat menarik apabila watak itu lari dari cerita terdahulu di mana Bucky semakin nampak fungsinya dalam dunia. Begitu juga dia menjalani kehidupan biasa, pergi membeli-belah dan berinteraksi dengan orang lain semakin baik.

“Ia sekali gus akan menjawab persoalan ramai mengenai bagaimana sebenarnya sifat dalaman watak itu. Plot ceritanya benar-benar memainkan peranan penting untuk memperkenalkan semula watak berkenaan,” katanya.

Bagi peminat dua watak utama Avengers itu atau keseluruhan pasukan adiwira terbabit, pastinya besar harapan mereka untuk jalan cerita siri terbabit lebih luar biasa. Namun, bagi Mackie, semua itu bergantung kepada apa yang mereka harapkan.

Menjawab perihal siapa mendapat perisai Captain America atau Steve Rogers, Mackie berkata, Sam tidak pernah mengambil alih daripada Steve. Namun, dia tidak menafikan perisai itu memang digunakan dalam siri terbabit dengan ketara.

“Sam menolak untuk menerima perisai itu. Memang ia berada di tangan saya, namun bukan kerana saya mengambil alihnya. Jadi kita kena lihat hal itu juga sekiranya itu antara harapan penonton mengenai siri ini.

“Sam sendiri mengatakan dia tidak layak menerima perisai itu dan menegaskan ia memang dicipta khas untuk Steve. Justeru, kita kena ambil pelbagai sudut apa sebenarnya penonton mahukan dalam siri itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews