fbpx

Tragedi SUKE: Pemandu treler positif dadah

KUALA LUMPUR: Pemandu treler yang melanggar perancah besi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak, di sini, semalam, didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata suspek berusia 40 tahun didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Dang Wangi susulan kejadian itu.

Beliau berkata, insiden itu menyebabkan pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, patah tulang bahu kiri, bengkak pada paru-paru dan mengalami pendarahan dalaman.

“Dua lagi penumpang van terbabit, iaitu Zaitun Zainal, 54, cedera kaki kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, pula cedera betis kiri.

“Mangsa yang meninggal dunia ialah Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Norhayati Abdullah, 42,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika treler itu melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Setiba di lokasi, ia melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi terjatuh di dua-dua laluan MRR2.

Runtuhan itu kemudian menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Ketika kejadian, van itu dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Sensata Technologies, USJ 1.

“Pemandu treler itu ditahan dan akan direman mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews