fbpx

Majikan, pekerja perlu laksana sistem pengurusan keselamatan bersama

KUALA LUMPUR: Kerjasama majikan dan pekerja terutama dalam sektor perkhidmatan pengangkutan melalui sistem pengurusan keselamatan yang cekap perlu dilaksanakan bagi mengurangkan potensi kemalangan di jalan raya.

Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara ( NIOSH), Ayop Salleh, berkata pelaksanaan sistem pengurusan pengangkutan yang baik termasuk pengenalpastian hazad dan kawalan risiko membabitkan perancangan perjalanan diyakini dapat melindungi pekerja dan orang awam daripada risiko tertentu seperti insiden runtuhan jambatan lebuh raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE), minggu lalu.

“Melalui pendekatan berkenaan, kejadian seperti bekalan tayar ganti, beban dan muatan jatuh atau tersangkut, muatan melebihi had, pemandu dalam pengaruh alkohol atau bahan terlarang, laluan yang tidak sesuai dan mengganggu orang ramai, lori rosak di jalan raya dan pelbagai risiko lain dapat dielakkan.

“Pemandu yang bergerak membawa muatan barangan tertentu memerlukan satu pengenalpastian hazad dan kawalan risiko membabitkan perancangan perjalanan dan kesediaan pemandu untuk memandu.

“Selain itu perlu juga kawalan risiko membabitkan keadaan kenderaan yang sesuai dan baik serta kesesuaian muatan yang dibawa, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai insiden runtuhan jambatan lebuh raya SUKE pada 3 Mac lalu yang mengakibatkan dua maut dan tiga lagi cedera.

Dalam kejadian itu, sebuah treler yang melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi terjatuh di dua-dua laluan MRR2.

Runtuhan itu kemudian menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Pada masa sama, Ayop berkata, isu keselamatan dan kesihatan di industri pembinaan bukan sahaja mengancam pekerja malah turut memberi kesan kepada orang awam khususnya bila sebuah projek baik pulih atau naik taraf membabitkan infrastruktur awam.

“Kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku kebiasaannya dianggap takdir dan lumrah namun hakikatnya ialah ianya boleh dikawal dengan semua pihak mengambil berat dan prihatin terhadap tanggungjawab dan peranan masing-masing,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews