fbpx

MH370: Ibu bawa anak ziarah ‘pusara tidak bertanda’

Nurlaila Ngah@Awang (kir) bersam anaknya Wan Afrina Sofea Wan Swaid, waris mangsa anak kapal MH370, Wan Swaid Wan Ismail. FOTO-Arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Setiap tahun ibu kepada tiga anak ini tidak pernah gagal untuk membawa anak-anaknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai ‘pusara tidak bertanda’ bapa mereka.

Nurlaila Ngah@Awang, 47, isteri pramugara kanan pesawat Malaysia Airlines MH370 berkata, ia bagi melepaskan kerinduan mereka sekeluarga kepada suami Wan Swaid Wan Ismail.

Bagaimanapun katanya, perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan ketika ini membataskan pergerakan mereka ke lapangan terbang disebabkan perlu merentasi negeri.

Beliau yang menetap di Kota Seriemas, Nilai berkata, anak-anaknya sudah menyuarakan hasrat itu dan mengajaknya ke lapangan terbang esok, seperti yang dilakukan setiap 8 Mac sebelum ini.

“Hendak ziarah kuburnya pun tiada. Sedih memang tak pernah hilang sejak hari kejadian tapi kami reda dan menerimanya sebagai ujian Allah SWT ini.

“Sewaktu suami ada pun, KLIA itu ibarat rumah kedua kami. Dia sering bawa kami sekeluarga ke sana dan menunjukkan tempatnya bekerja.

“Jadi apabila saya bawa anak-anak ke sana pula, dapatlah kami menggamit semula memori dan melepaskan rindu kepadanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, kehilangan pesawat terbabit memasuki tahun ketujuh dan sehingga kini belum ada jawapan jelas mengenai kehilangan itu.

Nurlaila turut dimaklumkan mengenai program memperingati MH370 ke-7 yang diadakan secara telesidang hari ini, dan berharap ada perkara baharu didedahkan.

“Kami sudah tidak kisah apa yang berlaku sebab ia sudah berlaku, cuma mahukan kebenaran apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat MH370.

“Sekarang ini apa yang penting bagi saya adalah masa depan anak-anak dan kehidupan perlu diteruskan. Hanya doa kepada Allah dipanjatkan agar kami bertemu lagi di syurga, insya-Allah,” katanya.

Katanya, dia bersyukur semua anaknya iaitu Wan Amirul Haziq, 19, Wan Aemer Hafiz, 17, and Wan Afrina Sofea, 15, membesar dengan baik dan diterapkan dengan ilmu agama secukupnya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews