fbpx

Rompin rekod IPU tidak sihat

KUANTAN: Rompin di Pahang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, hari ini.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tidak sihat di Rompin direkodkan 156 pada 12 tengah hari, hari ini.

Bacaan itu mula menunjukkan peningkatan dan rekod tertinggi iaitu 158 pada jam 8 pagi tadi.

Bagaimanapun, empat stesen di Pahang iaitu Temerloh, Jerantut, Balok Baru dan Indera Mahkota, di sini, merekodkan bacaan IPU pada paras baik.

Bacaan pada 12 tengah hari merekodkan IPU 40 di Temerloh, diikuti Jerantut (45) dan Balok Baru (38) manakala Indera Mahkota pula 44.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

Pada 3 Mac lalu, Pahang, Selangor dan Johor diisytiharkan kawasan Larangan Pembakaran Terbuka berkuat kuasa serta merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, pengisytiharan itu dibuat selaras peruntukan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.

Berikutan pengisytiharan itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews