fbpx

12 peniaga bundle di Korea kumpul RM76,430

Foto: Sabah Post

KOTA KINABALU: Usaha murni 12 peniaga pakaian terpakai atau bundle di Korea berjaya mengumpul dana RM76,430 bagi menampung kos penghantaran jenazah seorang rakyat Sabah di negara itu untuk dikebumikan di Malaysia

Idarmi Abd Kadil, 40, rakyat Sabah yang menetap di Korea, berkata dana terbabit adalah hasil dana jualan amal secara langsung di laman media sosial Facebook yang dikumpul bersama sumbangan dari orang ramai.

“Jumlah wang yang berjaya kami kumpulkan ini melebihi dari jumlah yang kami sasarkan sebelum ini iaitu sebanyak RM50,000 bagi menguruskan jenazah arwah Muhammad Khairul Anas Abd Gapal untuk dikebumikan ke kampung kelahirannya di Tawau, Sabah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Idarmi turut berkata, semua kos pengurusan penghantaran jenazah arwah Muhammad Khairul Anas juga sudah diuruskan termasuk membayar kos kenderaan membawa jenazah, kos menyimpan jenazah di bilik mayat hospital di selama enam hari, kos menyimpan jenazah di bilik mayat dimiliki ejen pengurusan mayat dan juga kos penerbangan.

“Selain itu, jenazah arwah juga dimandi, dikafan dan solat jenazah disempurnakan di Masjid Itaewon, Seoul.

“Penghantaran jenazah dari Incheon ke Kuala Lumpur dijadualkan akan berlepas pada jam 11:05 pagi ini (waktu tempatan) dengan kapal MH067. Dari Kuala Lumpur, jenazah dijadualkan akan dihantar ke Kota Kinabalu pada 10 Mac jam 6:10 pagi dan dijangka akan tiba ke Sabah pada jam 8:45 pagi menerusi kapal MH6102,” katanya.

Dalam pada itu, Idarmi turut memaklumkan beliau juga dihubungi Pengerusi Amanah Hawi Alkhairat (HAK) Sabah, Syed Husin Habib Omar dimana pihaknya akan menanggung sepenuhnya kos pengurusan jenazah dari Kota Kinabalu ke Tawau menerusi jalan darat di samping akan turut serta dalam pengurusan jenazah arwah Muhammad Khairul Anas di sana.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews