fbpx

COVID-19: Banyak negara abai amaran kecemasan – WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mendedahkan bahawa ada sebilangan negara mengabaikan amaran kecemasan dikeluarkan oleh agensi antarabangsa itu pada peringkat awal penularan COVID-19.

WHO mengeluarkan amaran peringkat tertinggi pada 30 Januari tahun lalu dengan mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) berhubung wabak itu.

Bagaimanapun hanya apabila perkataan ‘pandemik’ digunakan pada 11 Mac tahun lalu, barulah rata-rata negara mulai bertindak.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sebilangan negara lambat menyedari risiko COVID-19 selepas PHEIC diisytiharkan dengan kurang 100 jangkitan dan tiada kematian di luar China ketika itu.

“Satu perkara masih cuba untuk difahami ialah kenapa sesetengah negara mengambil tindakan selepas amaran itu dikeluarkan, manakala yang lain pula lambat bertindak.

“Ketika itu, kami berterusan memberi amaran bahawa dunia hanya ada sedikit kesempatan untuk membuat persediaan dan mencegah pandemik yang berpotensi tercetus,” katanya pada satu sidang media.

Beliau berkata, perkataan ‘pandemik’ akhirnya digunakan pada 11 Mac tahun lalu selepas jumlah negara yang terjejas dan kes jangkitan melonjak.

“Namun, kita mestilah jelas bahawa ketika itu bukan masa yang WHO mengeluarkan amaran tahap tertinggi,” katanya.

Tedros menekankan, fokus WHO kini ialah menyokong usaha negara serata dunia menamatkan pandemik itu, termasuk melalui pelaksanaan program vaksinasi.

“Kita sudah berjuang sejauh ini. Kita telah begitu banyak menderita dan ramai yang terkorban.

“Kita tidak boleh – kita mestilah tidak – mensia-siakan segala usaha yang telah dilakukan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan, pula berkata sebelum COVID-19 dikategorikan sebagai pandemik, terlalu banyak negara menyangka masing-masing tidak akan ditimpa krisis wabak itu.

Beliau menegaskan, perkara itu berlaku sedangkan kesemua 194 negara anggota WHO telah bersetuju bahawa perisytiharan PHEIC menuntut tindak balas bersepadu bagi usaha pencegahan.

Ryan turut memberi perumpamaan, penduduk di sebuah lembah memahami risiko dihadapi apabila empangan pecah lalu segera bertindak, manakala mereka yang berada di atas gunung pula tidak berasa cemas sehinggalah paras air semakin naik.

“Ramai orang dan banyak negara yang mendengar (amaran) serta mengambil tindakan.

“Bagaimanapun, saya bimbang terlalu banyak negara yang menyangka mereka ‘berada di atas gunung dan melihat air naik menenggelami yang lain’.

“Namun, semua orang berkenaan tidak sedar bahawa air yang naik itu akan turut menenggelami mereka,” katanya.

Menurut penjumlahan oleh AFP berdasarkan sumber rasmi, COVID-19 meragut hampir 2.6 juta nyawa dan menjangkiti lebih 116 juta orang, setakat ini. – AFP

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Polis buru suspek pecah rumah

Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai

Read More »
Kwiknews