fbpx

Disiplin pemain TFC kunci kejayaan benam Selangor

Foto: FB Terengganu Football Club

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mendedahkan pertemuan dengan Selangor FC adalah aksi sukar buat anak buahnya untuk merakam kemenangan.

Namun disiplin yang tinggi diperagakan pemainnya ternyata membuahkan hasil biarpun kerap diberi tekanan pemain skuad kendalian jurulatih kelahiran Jerman, Karsten Neitzel itu.

Tambah Nafuzi, percaturannya dengan memasukkan dua pemain gantian juga menjadi apabila masing-masing meledak jaringan.

“Bagi saya perlawanan malam ini (malam tadi) begitu sukar buat pemain untuk meraih kemenangan lebih-lebih lagi perancangan awal kita sedikit terganggu dengan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan.

“Malah Selangor yang hadir dengan reputasi baik selepas menumbangkan Pahang pada aksi pertama minggu lalu selain kekuatan pemain mereka lebih berbanding kita termasuk mempunyai penjaring import dan tempatan terbanyak musim lalu turut merisaukan kem pasukan.

“Tapi disiplin bertahan yang tinggi dipamerkan pemain sehingga ke minit terakhir selain mereka bermain mengikut taktikal yang dirancang, akhirnya kita berjaya meneruskan rentak kemenangan kedua berturut-turut.

“Selain itu aksi berpasukan tanpa bergantung kepada seseorang pemain serta mereka bermain sebagai satu unit mengikut sistem juga antara kunci kejayaan dan kelebihan kepada kita untuk mengutip tiga mata.

“Kemasukan Mohammad Rahmat Makasuf dan Mohamad Hakimi Abdullah menyuntik lagi kekuatan pasukan sebelum pemain berkenaan menjaringkan gol,” katanya selepas tamat perlawanan kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi.

Dalam perlawanan itu TFC berjaya meraih kemenangan kedua selepas membenam Red Giants 3-1 hasil jaringan Jordan Mintah, Mohammad Rahmat dan Hakimi manakala gol saguhati pelawat disumbangkan pertahanan TFC, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertampan bola masuk ke dalam gawang sendiri.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews