fbpx

Rosman watak penting bentuk Pearly-Thinaah

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak boleh dianggap antara watak penting membentuk gandingan Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta sensasi dengan menjuarai saingan Terbuka Switzerland, Ahad lalu.

Rosman adalah individu yang memberi peluang kepada Thinaah untuk mencuba beraksi dalam acara beregu selepas pemain itu mendapati dirinya tidak lagi boleh pergi jauh dalam acara perseorangan pada 2019.

Berbekalkan kualiti dimiliki Thinaah, Rosman membuat pertaruhan dengan menggandingkannya dengan Pearly yang ketika itu secara kebetulan tidak mempunyai pasangan.

“Thinaah seorang pemain yang bijak. Walaupun ada beberapa kekurangan di tempat lain, tetapi cara dia berfikir khususnya dalam strategi permainan menjadi kelebihan buat dirinya.

“Ketika dia bermain dalam acara perseorangan pun memang boleh nampak yang dia pemain yang bijak cuma pergerakan dia agak perlahan.

“Dengan kelebihan yang dimiliki Thinaah dan ditambah dengan kekuatan yang dimiliki Pearly yang memiliki corak permainan yang pelbagai, saya percaya kombinasi mereka memang boleh pergi jauh,” kata Rosman yang tidak lagi bersama skuad kebangsaan selepas kontraknya yang berakhir Disember lalu tidak disambung.

Pearly-Thinaah mencipta sensasi apabila buat kali pertama menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300.

Kejayaan itu hadir selepas mereka yang berada di ranking ke-30 dunia mengejutkan pasangan adik beradik di kedudukan ke-14 dunia dari Bulgaria, Stefani Stoeva-Gabrieal Stoeva 21-19, 21-12 pada aksi final Terbuka Switzerland yang berlangsung di Basel, Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Rosman yang sebelum kontraknya tamat ditukar ke acara beregu lelaki, berkata mengikut perancangan memang sudah masanya untuk Pearly-Thinaah menyerlahkan potensi sebenar dimiliki mereka pada tahun ini.

“Ketika Thinaah mula beraksi dalam acara beregu, memang kita tahu yang dia akan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Pada waktu itu juga, kita fokus untuk meningkatkan tahap fizikal mereka.

“Setahun yang lepas mereka tidak dapat menyertai kejohanan besar kerana kedudukan ranking yang rendah selain dengan kesibukan pasangan utama yang lain untuk mengejar mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo. Itu antara kekangan untuk mereka.

“Namun, kita memang jangka bermula tahun ini, mereka akan pergi lebih jauh,” katanya.

Kejuaraan di Basel boleh dianggap kesinambungan daripada kejayaan mereka menjuarai tiga kejohanan bertaraf lebih rendah sebelum ini yang menyaksikan mereka muncul juara Siri Antarabangsa Malaysia, Cabaran Antarabangsa India dan Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2019.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews