fbpx

Warga emas hilang di Hospital Selayang ditemukan meninggal dunia

GOMBAK: Mayat lelaki Orang Asli yang hilang ketika menerima rawatan di Hospital Selayang sejak 1 Mac lalu ditemukan tersangkut pada paip di tingkat enam hospital itu, malam tadi.

Mayat L Angah, 79, ditemukan pihak hospital sebelum menghubungi ahli keluarganya jam 11 malam memaklumkan kejadian itu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan hospital dan tersangkut pada paip di tingkat enam.

Menantunya, Salhamzurie Hamzah, 39, berkata, bapa mentuanya dihantar ke Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) pada 27 Februari lalu selepas muntah ketika makan dan badan panas.

Menurutnya, pihak HOAG pada mulanya mengesyaki bapa mentua terkena jangkitan denggi sebelum memindahkannya ke Hospital Selayang petang itu untuk rawatan lanjut.

“Sehingga jam 3 pagi, bapa mentua masih berada di wad kecemasan Hospital Selayang dan saya kemudian pulang sekejap ke rumah.

“Sebaik saya datang semula arwah sudah dipindahkan ke wad di tingkat 10 dan perlu menjalani ujian Covid-19,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Salhamzurie berkata, sepatutnya bapa mentuanya dipindahkan ke wad biasa pada 1 Mac lalu selepas keputusan Covid-19 negatif namun dia didapati hilang pada tengah hari itu.

“Puas kami mencari merata tempat di dalam kawasan hospital dan di kawasan perumahan berhampiran kerana bimbang dia keluar namun gagal menemuinya.

“Malah sepatutnya hari ini saya ingin ke Hospital Sungai Buloh kerana terfikir mungkin berlaku salah faham hingga bapa mentua dipindahkan ke sana namun tidak jadi apabila mayatnya ditemui malam tadi,” katanya.

Katanya, buat masa ini mereka masih belum boleh menuntut jenazah kerana menunggu keputusan ujian Covid-19.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.10 malam.

Menurutnya, pegawai dan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi enam minit kemudian.

“Kejadian membabitkan pesakit hospital yang terjatuh dari tingkat 10 ke tingkat enam dan tersangkut pada paip.

“Pasukan bomba mengambil mangsa dan menyerahkan pada polis,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts