WASHINGTON: Ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) Warren Buffett menyertai golongan eksekutif dengan nilai kekayaan bersih melebihi AS$100 bilion (RM411.3 bilion) termasuk Jeff Bezos, Elon Musk, Bernard Arnault dan Bill Gates, lapor majalah Forbes.
Harga saham syarikatnya Berkshire Hathaway mencapai tahap tertinggi semalam, mendorong kekayaannya mencecah AS$100.3 bilion (412.5 bilion) buat pertama kali melebihi AS$100 bilion.
Buffett, 90, yang dikenali sebagai “Oracle of Omaha,” adalah seorang daripada eksekutif paling berjaya dan dihormati sepanjang masa, bagaimanapun kekayaannya belum pernah mencapai ke tahap itu dengan pelabur dalam beberapa tahun bertaruh kepada sektor teknologi .
Menurut Forbes, konglomerat Berkshire Hathaway memiliki lebih daripada 60 syarikat, termasuk agensi insurans AS Geico dan pembuat bateri Duracell.
Buffettjuga dikenali sebagai penderma yang murah hati, setelah memberikan lebih dari AS$41 bilion (RM168.6 bilion) terutamanya kepada Yayasan Gates dan yayasan anak-anaknya.
Pada tahun 2010, Buffett dan Gates melancarkan program ‘memberi ikrar’, yang meminta jutawan memberi komitmen untuk menyumbang sekurang-kurangnya separuh dari kekayaan mereka kepada organisasi amal.
Menurut ranking Forbes, hanya empat eksekutif lain yang mempunyai nilai bersih yang lebih tinggi daripada Buffett iaitu pengasas Amazon, Bezos (AS$179.6 bilion) (RM738.7 bilion); Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Musk (AS$165.1 bilion) (RM679bilion); Pengarah Kumpulan LVMH, Arnault (AS$158.5 bilion) (RM652 bilion) dan pengasas Microsoft, Gates (AS$125.6 bilion) (RM516.6 bilion).
Pengasas Facebook Mark Zuckerberg berada di tempat keenam, dengan anggaran kekayaan AS$96.7 bilion (RM398 bilion). – AFP
Sumber: Berita Harian