fbpx

Messi, Ronaldo senasib

Penyerang Barcelona, Lionel Messi kecewa selepas pasukannya tewas kepada Paris Saint-Germain di Stadium Parc des Princes.

LONDON: Lionel Messi dan Ronaldo masing-masing terlepas saingan suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Kali terakhir mereka gagal mara ke kelompok lapan terakhir ialah pada 2004-05, ketika Liverpool menang kejuaraan berkenaan.

Messi dan Barcelona disingkirkan pada kelompok 16 terakhir oleh PSG, yang seri 1-1 berdepan gergasi Sepanyol itu awal pagi tadi seterusnya mara dengan agregat 5-2.

Kali terakhir kedua-dua bintang besar itu tidak beraksi pada kelompok lapan terakhir, Messi dan Barcelona disingkirkan Chelsea.

Ronaldo pula ketika itu bersama Manchester United tewas pada pusingan 16 terakhir kepada AC Milan.

Secara keseluruhan Ronaldo menang gelaran Liga Juara-Juara sebanyak lima kali manakala empat bagi Messi dengan terbaharu pada 2014-15.

Rekod panjang Barcelona mara ke kelompok lapan terakhir juga berakhir awal pagi tadi dengan mereka gagal melakukannya buat pertama kali sejak 2006-07.

Rekod Blaugrana ialah 13 kali berturut-turut tampil pada suku akhir yang juga terbanyak dalam sejarah kejohanan berkenaan.

Ketika Messi berusia 33 tahun dan Ronaldo 36 tahun, banyak spekulasi menyatakan bahawa era dua pemain itu mendominasi Eropah sudah berakhir. – Agensi

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews