fbpx

Selangor ‘rantai’ JDT

IFEDAYO Olusegun meraikan kejayaannya menjaringkan gol pembukaan Selangor.

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal menyempurnakan dua sepakan penalti, sekali gus terlepas peluang untuk melakar kemenangan keempat berturut-turut apabila diikat 1-1 oleh Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Malah, Red Giants terlebih dulu mengejutkan Harimau Selatan dengan gol pembukaan seawal minit keenam menerusi penjaring terbanyak liga musim lalu, Ifedayo Olusegun.

JDT bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerang baharunya, Bergson da Silva, lima minit kemudian.

Separuh masa pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan pantas dan menguji kubu lawan masing-masing.

PERTAHANAN Selangor, Ashmawi Yakin bekerja keras mengawal pemain muda JDT, Arif Aiman Hanapi dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Olusegun bagaimanapun mengejutkan tuan rumah selepas menyudahkan hantaran cantik Oliver Buff untuk jaringan pertamanya musim ini.

Selepas Da Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-11, JDT berpeluang mendahului saingan menerusi sepakan penalti pada minit ke-41, namun disia-siakan Gonzalo Cabrera yang tendangannya melepasi gawang.

Separuh masa kedua bersambung dengan permainan pantas di mana kedua-dua pasukan mengasak kubu lawan untuk mendapatkan gol kedua.

Peluang terbaik Harimau Selatan tiba sekali lagi menerusi sepakan penalti namun cubaan Da Silva berjaya diselamatkan Khairulazhan yang tenang menepis keluar tendangan itu.

Khairulazhan bukan sahaja bertindak cemerlang dengan berjaya menyelamatkan sepakan penalti, namun dia turut berjaya menidakkan tidak kurang daripada tiga percubaan berbahaya pasukan tuan rumah.

Keputusan 1-1 itu kekal sehingga pengadil, Hamdan Awang meniup wisel menandakan tamat perlawanan.

Sumber: Utusan Online

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews