fbpx

Lebih 200 petugas PPV IDCC positif

PUTRAJAYA: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengesahkan seramai 204 daripada 453 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dijangkiti wabak itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata keputusan ujian semua terbabit juga mendapati nilai kitaran ambang lebih daripada 35, justeru mereka mempunyai beban virus (virus load) yang rendah.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sebaik saja pihaknya mengetahui dua sukarelawan di PPV terbabit didapati positif COVID-19 pada 9 Julai lalu, beliau segera mengarahkan ujian COVID-19 beramai-ramai dilaksanakan terhadap petugas di PPV IDCC.

“Ujian ini dijalankan pada 10 Julai membabitkan semua petugas. Susulan langkah ini, setakat ini seramai 204 petugas didapati positif.

“Sebaik saja mendapat maklumat mengenai keputusan saringan pada jam 11 malam tadi daripada makmal Institut Genome Malaysia (MGI), saya mengarahkan penutupan IDCC serta merta selama satu hari, hari ini supaya kerja sanitasi dijalankan oleh pihak bomba.

“PPV IDCC akan dibuka semula pada hari esok,” katanya dalam satu sidang media khas, hari ini.

Khairy berkata, PPV itu mampu menjalankan vaksinasi terhadap 6,000 penerima sehari.

Katanya, semua penerima vaksin yang dijadualkan mendapat imunisasi hari ini juga sudah dimaklumkan mengenai penutupan PPV IDCC hari ini, melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.

Beliau berkata, mereka sudah pun mendapat tarikh janji temu baharu.

Khairy berkata, CITF juga mengarahkan petugasnya untuk pergi ke IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari arahan penutupan itu, agar mereka hadir pada tarikh baharu.

Selain itu, beliau berkata, semua petugas IDCC sebelum ini dikuarantin, manakala pasukan petugas baharu akan bertugas di PPV itu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi untuk jangkitan dapat dikurangkan.

Penerima vaksin pulang selepas menerima suntikan di IDCC, Selangor. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
Penerima vaksin pulang selepas menerima suntikan di IDCC, Selangor. – Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Katanya, beliau juga sudah mengarahkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV IDCC.

“Selain daripada langkah yang diambil di PPV IDCC itu sendiri, saya juga mengarahkan PPV lain untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

“Kami sedang mempertimbang langkah yang lebih tegas di semua PPV lain dan ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Sebentar tadi di Mesyuarat CITF yang saya pengerusikan, saya sudah meminta semua PPV lain sekiranya mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan untuk serta merta memaklumkan kepada CITF pusat, agar kami dapat membantu dengan segera,” katanya.

Khairy berkata, ini kali pertama CITF terpaksa menutup sementara PPV berikutan berlaku penularan, namun tindakan pantas dilakukan dengan mengambil tindakan menukarkan petugas, menjalankan proses sanitasi serta mengeluarkan janji temu baharu, selain tidak mengganggu program imunisasi.

Khairy berkata, sebanyak 88 peratus atau 400 petugas di PPV IDCC sudah divaksinasi, sementara 12 peratus belum lagi masih belum mendapat vaksin.

Ditanya sebab baki 12 peratus itu belum mendapat vaksinasi, Khairy berkata, mereka mungkin dalam kumpulan penggiliran baharu oleh Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVAC), yang belum mendapat imunisasi.

Katanya, CITF juga tidak pasti petugas PPV IDCC yang positif dijangkiti dari PPV IDCC atau dari luar.

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews