fbpx

Import, jualan Ivermectin terhad bagi tujuan klinikal

PUTRAJAYA: Ahli farmasi berlesen perlu memastikan aktiviti pengimportan atau penjualan bahan mentah Ivermectin bagi tujuan pengilangan merawat jangkitan COVID-19 terhad untuk tujuan percubaan klinikal.

Melalui satu senarai edaran hari ini, ia turut membabitkan pengimportan atau penjualan produk mengandungi Ivermectin bagi merawat jangkitan COVID-19.

Senarai edaran yang dikeluarkan semalam itu menyebut, ia merujuk kepada dasar Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan media pada 16 Mei lalu.

Antara lain, KKM menyatakan tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal di Malaysia.


Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi semalam menyebut, sebarang pengimportan atau penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk mengandungi Ivermectin perlu mematuhi keperluan perundangan dan regulatori ditetapkan bagi tujuan itu.

“Pengiklanan produk racun termasuk Ivermectin tidak dibenarkan sama sekali kerana bertentangan dengan dasar Lembaga Iklan Ubat (LIU),” katanya.

Surat edaran itu menamakan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Presiden Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG), Presiden Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA).

Berikutan itu, ahli farmasi diarah menghentikan serta-merta aktiviti pengimportan pengilangan termasuk compounding dan penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk yang mengandungi Ivermectin bagi tujuan rawatan jangkitan COVID-19 selain bawah percubaan klinikal yang dibenarkan.

Pihak terbabit juga diminta menghentikan pengiklanan produk itu dan tidak diulang siar dalam mana-mana media.

Persatuan farmasi juga perlu memastikan ahli masing-masing mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan serta dasar ditetapkan KKM dalam usaha pencegahan penggunaan tidak sah produk Ivermectin.

Surat edaran itu memaklumkan, sebarang penjualan atau pembekalan serta pengiklanan ubat yang tertakluk kepada kawalan bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, akan berdepan dengan tindakan penguatkuasaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan media sebelum ini antara lain

menasihati orang ramai tidak mengambil Ivermectin untuk tujuan rawatan dan pencegahan COVID-19.

Ia berikutan tiada data klinikal membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan dan pencegahan COVID-19.

Kenyataan media Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum ini memaklumkan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 dalam kajian atau percubaan klinikal.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews