fbpx

Pendatang tanpa izin titip penghargaan khas inisiatif Program Rekalibrasi Pulang

SEPANG: Bertempat di Aras 2 Blok B, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelihatan sekumpulan warga asing dengan bagasi pelbagai warna sedang menunggu penerbangan untuk berlepas pulang ke negara masing-masing.

Pelbagai gelagat dapat disaksikan, ada yang melelapkan mata, ada pula yang sedang membuat panggilan video malah ada yang masih berurusan di kaunter Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin kendalian Jabatan Imigresen.

N. Prabakaran, 23, dan M.Vijay, 21, masing-masing berasal dari Pudukottai dan Sivaganga di India adalah antara ribuan pendatang tanpa izin yang menyertai Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin di KLIA itu.

Kedua-dua perantau ini dapat pulang ke negara asal tanpa perlu melalui Sistem Temujanji Online (STO) untuk berurusan di pejabat Imigresen.

Prabakaran datang ke Malaysia pada 2019 dan bekerja sebagai pelayan hotel serta pencuci kereta di Rawang sebelum dokumen perjalanannya tamat tempoh setahun kemudian.

“Sejak itu, saya cuba buat pelbagai kerja namun tidak berhasil akibat kesan COVID-19.

Selepas dapat tahu ada program rekalibrasi menerusi berita Tamil, saya dan rakan-rakan lain terus membuat persiapan sewajarnya untuk pulang ke India,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di KLIA, baru-baru ini.

Syarat menyertai Program Rekalibrasi Pulang di KLIA adalah memiliki dokumen perjalanan sah yang diluluskan kedutaan masing-masing, memiliki tiket pulang ke negara asal, membayar kompaun RM500 dan mempunyai slip ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang sah laku dalam tempoh 72 jam dari tarikh penerbangan.

Vijay datang ke Malaysia pada 2018 pernah bekerja di ladang dan tempat cuci kereta manakala dokumen perjalanannya tamat selepas dua tahun.

Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Mac tahun lepas, beliau tidak mempunyai kerja tetap mahupun pendapatan stabil dan tidak dapat mengumpul duit untuk pulang ke negaranya.

“Kepulangan saya ke India juga atas ihsan bekas majikan saya yang membantu dari segi kewangan kerana duit tidak mencukupi,” katanya yang turut menitipkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Jabatan Imigresen atas inisiatif tersebut.

Prabakaran dan Vijay berlepas pulang ke India, pada 3 Ogos lepas

.Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, sebanyak 8,856 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing menerusi program rekalibrasi pulang di KLIA yang bermula 5 Julai hingga 31 Julai.

Simpati dengan keadaan warga asing yang terpaksa menunggu lama di KLIA serta kekangan mendapatkan makanan, badan bukan kerajaan Pravasi Malayalee Association Malaysia (PMA) dan Sikh Association Malaysia tampil menghulurkan bantuan makanan dan minuman bagi warga asing berkenaan di KLIA.

Ahli PMA Mujib Rahman ketika ditemui berkata kedua-dua persatuan itu bergilir-gilir sama ada memberi sumbangan makanan tengah hari atau makan malam dengan jumlah pek makanan disediakan mencecah 800 pek sehari.– BERNAMA





Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews