fbpx

Semakin ramai mohon bantuan makanan – JKM

Foto: BERNAMA

TUMPAT: Sebanyak 1,497 panggilan untuk bantuan Bakul Prihatin Negara 2021 diterima di negeri ini sepanjang dua bulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula Jun lalu.

Panggilan itu direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan angka itu semakin meningkat berbanding dua PKP terdahulu.

Pengarah JKM negeri, Said Sidup, berkata sehingga kini pihaknya menerima 8,200 bakul makanan untuk fasa pertama dan sudah membuat agihan kepada 6,374 penerima.

“Penerima adalah dalam kalangan yang terjejas dan tidak bekerja disebabkan pandemik COVID-19.


“Panggilan yang memohon bantuan semakin meningkat dan pihak kami tidak meletakkan syarat untuk penerima sebaliknya bantuan itu akan terus dihantar oleh skuad sukarelawan ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui di Kampung Belian, di sini sempena agihan bakul makanan daripada kerajaan negeri yang diagihkan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi diiringi isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Abd Hamid.

Sumbangan barang makanan itu diagihkan kepada 250 rumah di kampung itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam sehingga 17 Ogos ini.

Pengarah JKM, Said Sidup (kanan) bersama isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Abd Hamid (dua kanan) serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi (tengah) pada program agihan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Belian yang dikenakan PKPD bermula semalam hingga 17 Ogos ini. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Pengarah JKM, Said Sidup (kanan) bersama isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Abd Hamid (dua kanan) serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi (tengah) pada program agihan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Belian yang dikenakan PKPD bermula semalam hingga 17 Ogos ini. – Foto NSTP/Siti Rohana Idris

Said berkata, pihaknya akan menerima 5,100 bantuan yang sama beberapa hari lagi menerusi fasa dua dan ia sebagai persediaan untuk agihan kepada lebih ramai yang dijangka terjejas.

Beliau berkata, walaupun tidak dikenakan sebarang syarat, pihaknya yakin agihan dilakukan secara adil tanpa mengira latar belakang.

“Rasanya tidak timbul isu agihan kepada penerima yang sama kerana anggota sukarelawan yang ditugaskan untuk mengagih pasti tahu individu yang sudah menerima bantuan.

“Bagi yang ingin mendapatkan bantuan bakul makanan ini boleh menghubungi talian kasih 15999,” katanya.

Sementara itu, Mumtaz berkata, agihan makanan akan dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh dua minggu PKPD dan sebagai tambahan, sayur, ayam mentah serta makanan ringan akan dibekalkan.

“Kita harap bekalan makanan ini dapat dimanfaatkan penduduk dan mengelakkan mereka keluar dari kawasan PKPD sekali gus mengekang jangkitan yang kita sangat bimbangi kerana trend terkini banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews