fbpx

Lebih 300 Jalur Gemilang hiasi PPV di UTM

PPV UTM di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah UTM dihiasi Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64. - Foto ihsan UTM

JOHOR BAHRU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, dihiasi lebih 300 Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Pendaftar UTM, Abdul Razib Shahuddin, berkata malah bagi menyemarakkan penghayatan sambutan tahun ini, penerima vaksin dihiburkan dengan tayangan pelbagai video bertema patriotisme sementara menunggu giliran mereka diberi suntikan.

Selain itu, beliau berkata, 100 Jalur Gemilang turut diedar kepada penerima vaksin sebagai cenderahati pada hari perasmian Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 UTM, 17 Ogos lalu.

“Kami juga merancang untuk memberi 200 Jalur Gemilang kepada penerima vaksin pada Hari Kebangsaan 31 Ogos, dan Hari Malaysia 16 September depan.

“Selain itu, mereka diberi pelekat khas untuk pelitup muka dan dialu-alu menulis kata-kata semangat serta harapan pada papan tanda khas sebelum meninggalkan pusat vaksinasi.

“Kami memahami situasi semasa akibat pandemik COVID-19, namun amat rugi sekiranya hari penting ini dibiarkan berlalu tanpa sebarang inisiatif sambutan.

“Tahun ini sangat istimewa kerana kami terpilih untuk mengoperasikan PPV bagi memberi suntikan vaksin kepada penduduk di daerah Johor Bahru dan Kulai,” katanya ketika ketika ditemui, di sini.

Penerima vaksin diberikan Jalur Gemilang sebagai cenderahati. - Foto ihsan UTM
Penerima vaksin diberikan Jalur Gemilang sebagai cenderahati. – Foto ihsan UTM

Dalam pada itu, Abdul Razib memaklumkan, UTM akan menganjurkan 33 program bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Antaranya, program UTM Malaysia Day, 1,000 Langkah (secara maya), ‘Knowledge Sharing / Read & Relax’ Edisi Khas Kemerdekaan serta Konsert Merdeka dan Kebudayaan dalam talian.

“Semua program itu akan membabitkan seluruh warga UTM, termasuk pelajar dan staf, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat, sekali gus menerapkan jati diri serta integriti supaya dapat berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

“Kita mahu bangkitkan semangat patriotik dan sayangkan negara, terutama dalam kalangan generasi muda Malaysia. Ini penting supaya kita dapat melahirkan generasi Malaysia yang sentiasa cakna sejarah dan cintakan tanah air,” katanya.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews