KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 memasuki Sabah tanpa perlu menjalani kuarantin ketika pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan semalam memperincikan beberapa ketetapan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikemas kini sekiranya ingin memasuki Sabah.
Menurutnya, bagi individu dengan status lengkap vaksinasi, mereka harus menunjukkan hasil ujian saringan atau menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 dengan keputusan negatif yang disahkan klinik atau makmal bertauliah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tempoh sah laku ujian adalah selama tiga hari selepas pengambilan sampel sebelum memasuki Sabah di samping turut diminta mengisi borang deklarasi kesihatan atau ‘eHealth Declaration Form’ di laman sesawang rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
“Selain itu, individu yang memasuki Sabah harus sertakan bukti status ‘lengkap divaksin’ ketika penilaian risiko di pintu masuk dan ia juga tertakluk dengan penilaian risiko oleh petugas kesihatan.
“Bagaimanapun sekiranya didapati bergejala, individu terbabit akan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah.
“Bagi kanak-kanak dan remaja bawah 12 tahun yang memasuki Sabah bersama penjaga yang telah lengkap vaksinasi dinasihatkan menjalankan pemantauan kendiri di rumah selama 10 hari,” katanya.
Selain itu, bagi individu yang belum menerima vaksin atau belum menerima vaksin lengkap diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 10 hari di samping syarat kemasukan seperti menjalani ujian saringan dan mengisi borang deklarasi kesihatan turut diwajibkan.
Bagi pengembara antarabangsa, Masidi menegaskan mereka wajib lengkap vaksin dan hasil ujian saringan dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.
Pengembara antarabangsa juga diwajibkan menjalani kuarantin di rumah atau hotel kuarantin yang telah diwartakan kerajaan negeri dan mengisi borang deklarasi kesihatan.
Dalam pada itu, Masidi juga menjelaskan definisi lengkap pelalian sebagai syarat memasuki Sabah.
“Penerima vaksin yang memerlukan dua dos yang dibenarkan memasuki Sabah adalah Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca selepas 14 hari menerima dos kedua.
“Bagi vaksin yang memerlukan satu dos, hanya individu yang menerima vaksin CanSino dan Jansen selepas 28 hari suntikan dibenarkan memasuki Sabah,” katanya.
Setakat semalam, hampir 70 peratus penduduk Sabah sudah menerima dos lengkap pelalian terhadap COVID-19.
Sumber: Berita Harian